Skip to main content
28 August 2026

UTeM rangkul dua anugerah utama META 2026

KUALA LUMPUR: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan TVET apabila merangkul dua pengiktirafan berprestij pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026, di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, UTeM dinobatkan sebagai penerima Graduate Employability Excellence Award, manakala Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, turut menerima Education Transformation Leadership Award 2026.

Dua kemenangan berimpak besar ini yang telah diraih ini menyaksikan UTeM membawa pulang dua trofi kemenangan dan dua sijil kecemerlangan yang telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia, Ir Ts Dr Kamaruzaman Md Ali.

Kejayaan berganda itu mencerminkan keupayaan UTeM dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan, selain keberkesanan kepimpinan dan transformasi pendidikan yang dilaksanakan universiti berkenaan secara berterusan.

Prof. Datuk Ts. Dr. Massila berkata, pengiktirafan berkenaan amat bermakna kerana ia mencerminkan hasil usaha kolektif seluruh warga UTeM dalam memastikan pendidikan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi semasa dunia.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan kepada universiti, tetapi menjadi bukti bahawa usaha berterusan UTeM dalam memperkasa pendidikan berteraskan TVET, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh hubungan dengan industri memberikan impak yang nyata,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu turut menjadi pemangkin kepada UTeM untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang mampu melahirkan graduan berkemahiran, kompeten dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa depan.

“Pada masa yang sama jelas menzahirkan bahawa ini menjadi bukti jelas dan nyata bahawa graduan UTeM terus menjadi buruan utama industri dengan penawaran gaji yang progresif dan lumayan.

“Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Lembaga Pengarah Universiti, rakan industri, alumni serta seluruh warga UTeM atas komitmen dan sokongan berterusan.

“Tanpa kerja berpasukan dan kesungguhan semua pihak, pencapaian seperti ini tidak mungkin dapat direalisasikan. Saya percaya kejayaan hari ini akan menjadi motivasi untuk kita terus melangkah lebih jauh dan membawa UTeM ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, kejayaan Graduate Employability Excellence Award itu juga turut mengukuhkan kedudukan UTeM sebagai universiti yang memberi penekanan terhadap penyediaan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi kehendak industri.

Pendekatan UTeM yang menggabungkan pendidikan teknikal, pembelajaran berorientasikan aplikasi serta kerjasama erat dengan industri sebelum ini turut menyumbang kepada pengiktirafan universiti berkenaan dalam bidang TVET dan kebolehpasaran graduan.

Hadir sama bagi meraikan 2 kemenangan UTeM ke majlis ini ialah Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof Madya Dr Musthafah MohdTahir, Ketua Pegawai Operasi, Madzarif Mahat, Bendahari, Sabarina Abdullah dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (Uglobe), Hazman Hasib.

Sebelum ini, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk World Outstanding Education Leadership Award 2026, World Women Empowerment Impact Award 2026, World Responsible AI Leadership Award 2025, World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award 2024, Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award 2025 dan Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara pemimpin pendidikan tinggi negara yang disegani di peringkat global