UTeM Perkukuh Infrastruktur AI dan Keselamatan Siber, Bangunan Baharu FAIX dijangka Siap Hujung November 2026
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh kedudukan negara dalam landskap kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber menerusi pembangunan bangunan baharu Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, yang dijangka siap pada hujung November 2026 dan sedia memulakan operasi pada awal Januari 2027.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata projek berimpak strategik itu bukan sekadar menyediakan ruang akademik moden dan canggih semata.
“Sebaliknya mencerminkan komitmen UTeM untuk melahirkan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi kritikal yang semakin menjadi keperluan utama negara, khususnya ketika dunia berdepan ancaman siber semakin kompleks dan transformasi digital yang pesat,” ujarnya.
Katanya, bangunan baharu itu direka untuk menampung sehingga 1,700 pelajar dan 70 pensyarah pada satu-satu masa, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran, penyelidikan dan inovasi yang lebih kondusif serta berteraskan teknologi masa hadapan.
“Kompleks berkenaan bakal dilengkapi empat dewan kuliah, 17 makmal dan sebuah auditorium, selain kemudahan makmal berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada bidang AI dan keselamatan siber.
“Antara kemudahan khusus yang bakal menjadi teras pembangunan kepakaran ialah makmal Sains Data, Embodied AI, Security Operations Center (SOC) dan Cyber Threat Intelligence, selain kemudahan penyelidikan berkaitan teknologi termaju yang lain,” ujarnya.
Menurut Massila, kewujudan infrastruktur khusus itu dijangka memperkukuh keupayaan universiti dalam memperluas penyelidikan gunaan, membangunkan penyelesaian teknologi serta menyediakan graduan yang mampu memenuhi keperluan industri dan sektor strategik negara.
“Lebih signifikan, pemilihan MITC sebagai lokasi baharu FAIX memberikan dimensi strategik kepada pembangunan fakulti berkenaan,” ujarnya.
Katanya lagi, tapak bangunan FAIX itu dahulunya merupakan bangunan Melaka Planetarium yang berada di tengah bulatan besar MITC yang menjadi salah satu destinasi tumpuan para pelancong ketika berkunjung ke negeri Melaka.
Mengulas lanjut beliau berkata, kedudukannya di kawasan yang menjadi hab pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan membuka ruang lebih luas kepada UTeM untuk mempererat kerjasama dengan agensi kerajaan, khususnya dalam agenda keselamatan data, perlindungan infrastruktur digital dan pelaksanaan projek pendigitalan negeri.
“Pendekatan itu berpotensi menjadikan FAIX bukan sekadar pusat kecemerlangan akademik, malah rakan strategik sektor awam dalam mendepani cabaran keselamatan maklumat dan keperluan teknologi digital yang semakin mendesak.
“Dalam era apabila data menjadi aset strategik dan keselamatan siber berkait rapat dengan kedaulatan digital negara, pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang berkenaan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan,” ulas beliau