Pembangun Perisian Automasi Play Test Salah Sebuah Syarikat Telekomunikasi Ternama Negara, Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM
Pembangun Perisian Automasi Play Test di salah sebuah syarikat telekomunikasi ternama negara, Muhamad Syahmi Mohd Alwi (24 tahun) merupakan Penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-22, di sini, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 di samping telah menerima sebanyak tujuh kali Anugerah Dekan.
Selain Syahmi, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Yap Zhi Xuan (24 tahun), iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian bersama pencapian PNGK 3.97.
Kedua-dua mereka telah menerima pingat, sijil anugerah berserta dengan wang tunai RM 7,500.
Menyentuh tentang kejayaan akademik dan kemahiran beliau dalam bidang Sains Komputer, Syahmi yang berasal dari Kulai, Johor, berkata sebagai seorang mahasiswa beliau sememangnya telah menanam minat yang sangat mendalam terhadap bidang kecerdasan buatan sejak dari awal lagi.
“Saya meletakkan sepenuh jiwa dan perasaan yang sentiasa teruja untuk meneroka dan mengadaptasi perubahan AI mengikut keperluan semasa dan berdaya maju seiringan dengan apa yang dihasratkan sama seperti situasi saya sudah bekerja kini sebagai Jurutera Uji di syarikat tersebut dengan menerima gaji premium sebanyak RM 4,000.00 sebulan.
Menyentuh tentang harapan beliau terhadap keluarganya pula, anak bongsu daripada 3 adik beadik kepada pasangan Normah Mamud (53 tahun) dan Mohd Alwi Mohd nor (61 tahun) berkata, beliau mempunyai impian untuk membanggakan kedua ibu bapanya bagi meunaikan ibadah umrah dan haji secara kerap berulang kali.
Sementara itu, Yap Zhi Xuan berasal dari Beranang, Selangor pula berkongsi pengalamannya berkata, antara faktor yang menyokong ke arah kejayaan adalah bermula dengan tekad dan keazaman beliau untuk menjadi insan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.
"Selain itu, motivasi peribadi untuk terus belajar bersungguh-sungguh di samping pengurusan masa yang efektif serta tidak suka bertangguh dalam menyempurnakan sesuatu urusan samada berkaitan akademik mahupun aktiviti berkaitan ko kurikulum,” ujarnya.
Beliau kini telah memulakan tugas sebagai Jurutera Mekanikal & Elektrik di syarikat Zeal Perunding Sdn Bhd dengan menerima gaji premium sebanyak RM 4,000.00.
Yap merupakan anak bongsu daripada 2 orang adik beradik kepada pasangan Ng Chin Choo (51 tahun) yang merupakan seorang suri dan Yap Kim Sui (54 tahun) yang bekerja sebagai Penyelia Binaan.
Mereka berdua merupakan antara 3,578 graduan teramai dalam sejarah UTeM yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula hari ini 31 Oktober hingga 2 November membabitkan enam sesi.
Majlis Konvokesyen UTeM ke-22 disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Hadir sama Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin