Skip to main content
28 August 2026

Graduate Employability Excellence Award bukti graduan UTeM jadi buruan utama industri

Graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semakin menjadi buruan utama industri, dengan kadar bekerja mencecah 99.2 peratus, selain peningkatan gaji dan permintaan majikan terhadap bakat berkemahiran teknikal yang dilahirkan universiti TVET berprestij ini.

Prestasi itu bukan sekadar angka, sebaliknya diterjemahkan menerusi pengiktirafan kemenangan UTeM bagi Graduate Employability Excellence Award pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam, mengukuhkan reputasi UTeM sebagai universiti awam berteraskan TVET termaju yang berjaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata pencapaian berkenaan membuktikan pendekatan universiti yang menggabungkan pendidikan teknikal, pembelajaran berasaskan aplikasi dan kerjasama industri berjaya menghasilkan graduan yang bukan sahaja mudah mendapat pekerjaan, malah mempunyai nilai tinggi di pasaran.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan kepada universiti, tetapi bukti bahawa usaha berterusan UTeM dalam memperkasa pendidikan berteraskan TVET, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh hubungan dengan industri memberikan impak yang nyata,” katanya.

Berdasarkan data terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kadar bekerja graduan UTeM meningkat kepada 99.2 peratus pada 2025, berbanding 97.9 peratus pada 2024.

Kadar kebolehpasaran graduan turut mencatat peningkatan kepada 98.7 peratus berbanding 98.1 peratus pada tahun sebelumnya dan lebih signifikan, graduan yang bekerja dalam bidang pengajian masing-masing meningkat daripada 65.1 peratus kepada 70.1 peratus, membabitkan 1,698 graduan.

Angka berkenaan menunjukkan semakin ramai graduan UTeM bukan sahaja memasuki alam pekerjaan, malah berjaya membina kerjaya selari dengan bidang kepakaran yang dipelajari.

Gaji turut meningkat bilamana kualiti graduan UTeM turut tercermin menerusi peningkatan pendapatan yang mana seramai 279 graduan atau 11.8 peratus memperoleh gaji RM4,000 ke atas pada 2025, berbanding 256 orang atau 10.8 peratus pada 2024.

Jumlah graduan yang menerima gaji RM3,500 ke atas pula meningkat kepada 488 orang atau 20.6 peratus, berbanding 19.6 peratus pada 2024 dan purata gaji bulanan turut meningkat kepada RM2,821.70, berbanding RM2,742.80 pada tahun sebelumnya.

Massila berkata, trend itu membuktikan industri semakin mengiktiraf kompetensi dan kualiti bakat UTeM.

“UTeM bukan sekadar melahirkan graduan yang mudah mendapat pekerjaan, malah berjaya menghasilkan bakat berkualiti tinggi yang diiktiraf industri melalui peningkatan pendapatan yang signifikan,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan didorong kurikulum yang sentiasa diselaraskan dengan kehendak industri dan majikan, selain sokongan KPT menerusi pelbagai intervensi kebolehpasaran termasuk pensijilan profesional serta inisiatif penempatan pekerjaan.

Di samping itu, kepercayaan industri terhadap graduan UTeM turut terserlah menerusi Graduate Employability Index 2026 oleh Talentbank yang melibatkan penilaian 1,200 majikan industri.

Dalam penilaian itu, bidang Automotif UTeM menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam Malaysia manakala 3 lagi bidang UTeM iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik pula menerima penarafan tertinggi 6-Star Employer Choice.

UTeM turut diiktiraf sebagai Universiti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terkemuka di Malaysia untuk Kebolehkerjaan Siswazah.

Bagi bidang Komputeran dan Teknologi Maklumat, UTeM pula menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan secara berskala besar.

Keseluruhan pencapaian itu mengangkat UTeM ke dalam kelompok lima universiti awam terbaik negara menerusi Graduate Employability Index 2026.

Massila berkata, pencapaian itu membuktikan model pendidikan UTeM yang berteraskan TVET kekal relevan dalam mendepani perubahan teknologi dan keperluan tenaga kerja masa depan.

Dengan kadar bekerja hampir menyeluruh, peningkatan graduan yang bekerja dalam bidang pengajian, pertumbuhan gaji serta pengiktirafan langsung daripada majikan, UTeM kini semakin menonjol sebagai kilang bakat TVET yang menjadi buruan dan pilihan utama industri.