Skip to main content
29 June 2026

Mahasiswa UTeM Praktis Kemahiran TVET Turun Padang Bantu Komuniti Nelayan

Parit Jawa: Seramai 10 mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) daripada pelbagai bidang kejuruteraan turun padang menyantuni komuniti nelayan di Kampung Nelayan, Parit Jawa menerusi Program UTeM@KPT Prihatin yang memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu dan khidmat bakti masyarakat.

Menerusi program itu, mahasiswa berkongsi pengetahuan asas penyelenggaraan motosikal termasuk teknik menukar minyak hitam dengan betul dan selamat, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.

Sebanyak 60 motosikal milik penduduk kampung berjaya diselenggara menerusi perkhidmatan penukaran minyak hitam yang dikendalikan oleh mahasiswa sepanjang program berlangsung.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, program berteraskan kesukarelawanan dan pemindahan ilmu itu selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan teknikal, malah mempunyai nilai kemanusiaan serta keprihatinan sosial yang tinggi.

Katanya, Program UTeM@KPT Prihatin menjadi platform terbaik untuk mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

"Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti komuniti seperti ini membantu membentuk graduan yang lebih berdaya saing, berempati dan bertanggungjawab.

"UTeM sentiasa komited memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti menerusi pelbagai program berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi program khidmat komuniti mampu meningkatkan

kemahiran insaniah mahasiswa selain merapatkan hubungan antara universiti dan masyarakat.

Beliau berkata, mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu, malah berperanan sebagai ejen perubahan yang mampu menyumbang kepakaran dan kemahiran kepada komuniti.

"Melalui penglibatan secara langsung di lapangan, mahasiswa dapat mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan serta penyelesaian masalah yang amat diperlukan dalam alam pekerjaan," katanya.

Bagi peserta program, Amirul Aiman Ahmad, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, pengalaman menyertai program berkenaan memberi peluang kepadanya untuk mendekati masyarakat sambil menyumbang melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki.

Katanya, selain mempelajari kemahiran baharu berkaitan penyelenggaraan motosikal, program itu turut meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat kesukarelawanan.

"Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan kerana manfaatnya bukan sahaja dirasai masyarakat, malah turut membantu pembangunan sahsiah dan kemahiran mahasiswa," katanya.

Program UTeM@KPT Prihatin merupakan antara usaha berterusan universiti dalam menyokong agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan budaya kesukarelawanan, pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti menerusi penglibatan aktif mahasiswa.

Program itu turut menerima sambutan positif daripada penduduk setempat yang menghargai kehadiran mahasiswa UTeM dalam berkongsi pengetahuan teknikal dan membantu komuniti nelayan setempat.