Skip to main content
26 June 2026

UTeM Buktikan Keupayaan Global, Lonjak Kedudukan dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila berjaya melonjak ke kelompok 601-800 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings (SIR) 2026, berbanding kedudukan 801-1000 pada tahun lalu.

Lebih membanggakan, UTeM turut tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia bagi Sustainable Development Goal (SDG) 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih, sekali gus membuktikan keupayaan universiti itu melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dalam pembangunan lestari.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata pencapaian itu memperkukuhkan lagi kedudukan UTeM sebagai universiti teknikal yang komited terhadap agenda pembangunan mampan di peringkat global.

Beliau berkata, pengiktirafan berkenaan turut meningkatkan keyakinan pelbagai pihak berkepentingan termasuk industri, komuniti, agensi kerajaan dan rakan strategik antarabangsa terhadap keupayaan universiti menerajui agenda kelestarian.

"Selain memperkukuhkan reputasi UTeM di peringkat antarabangsa, pencapaian ini membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik, penyelidikan serta jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada universiti dan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Massila berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan universiti dalam mengintegrasikan elemen kelestarian merentas bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi, tadbir urus serta penglibatan komuniti.

Katanya, pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk memperkukuh penyelidikan berkaitan kelestarian, pembangunan kampus hijau dan cekap tenaga, program pemerkasaan komuniti serta kerjasama strategik bersama industri, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa.

"Peningkatan kedudukan ini membuktikan usaha UTeM dalam memperkasa agenda kelestarian semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Ia juga mencerminkan keupayaan universiti menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan alam sekitar melalui pendekatan pendidikan tinggi yang holistik, selain menjadi pemangkin kepada seluruh warga universiti untuk terus membudayakan amalan kelestarian dalam ekosistem kampus," katanya.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata UTeM akan memperluaskan penyertaan dengan menghantar lebih banyak SDG untuk dinilai oleh THE, di samping memperkukuh sistem pengumpulan dan pelaporan data kelestarian bagi meningkatkan prestasi penarafan pada masa depan.

Beliau berkata, universiti juga akan terus memperhebat penyelidikan berimpak tinggi, memperluaskan penggunaan teknologi hijau dan tenaga lestari di kampus serta mengukuhkan kerjasama dengan industri, komuniti dan institusi antarabangsa bagi menyokong pencapaian agenda pembangunan mampan.

Katanya, usaha itu selaras aspirasi UTeM untuk terus muncul sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang unggul, berdaya saing dan menjadi peneraju dalam menyumbang kepada agenda kelestarian di peringkat nasional serta globa