Saintis UTeM antara 10 terbaik Malaysia ke China Jayakan Penyelidikan Bahan Termaju dan Nano Teknologi Antarabangsa
Seorang penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta pencapaian membanggakan apabila terpilih sebagai antara 10 saintis muda terbaik Malaysia untuk menyertai Program Malaysia-China Science and Technology People-to-People Exchange Programme 2025 yang dianjurkan Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azli Salim berjaya memperoleh tempat dalam program berprestij itu selepas melalui proses pemilihan yang ketat melibatkan penilaian proposal penyelidikan dan sesi temuduga bersama panel pakar daripada ASM, MOSTI serta wakil industri.
Kejayaan itu melayakkan beliau menerima geran penyelidikan bernilai RM72,000 dan menjalani penempatan penyelidikan selama enam bulan di National Center of International Research for Hybrid Materials Technology, College of Materials Science and Engineering, Qingdao University, Shandong, China bermula 13 Julai 2026 hingga 8 Januari 2027.
Penyelidikan yang bakal dijalankan bertajuk Development and Characterisation of Graphene-Based Conductive Inks and Flexible Sensors for Wearable Applications dalam bidang bahan termaju dan nanoteknologi.
Kajian itu memberi fokus kepada pembangunan dakwat konduktif berasaskan graphene dan sensor fleksibel untuk aplikasi peranti boleh pakai (wearable devices), elektronik fleksibel, tekstil pintar serta Internet of Things (IoT).
Mohd Azli berkata, penyelidikan berkenaan berpotensi menghasilkan teknologi baharu yang lebih fleksibel, tahan lasak dan mesra alam bagi memenuhi keperluan industri elektronik generasi akan datang.
“Penyelidikan ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan formulasi dakwat konduktif graphene yang mempunyai kekonduksian tinggi serta mampu beroperasi dalam keadaan lenturan dan regangan berulang.
“Selain penghasilan prototaip sensor fleksibel, kajian ini juga dijangka menghasilkan penerbitan jurnal berimpak tinggi, potensi pemfailan paten bersama serta membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan strategik antara Malaysia dan China,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pemilihan Mohd Azli membuktikan keupayaan penyelidik universiti itu untuk bersaing dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“UTeM amat berbangga dengan kejayaan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azli Salim yang terpilih dalam kalangan 10 saintis muda terbaik negara bagi program ini.
“Pencapaian ini membuktikan kecemerlangan penyelidik UTeM dalam bidang teknologi termaju dan penyelidikan berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi TVET dan teknologi yang aktif meneroka kerjasama penyelidikan global.
“Melalui program ini, UTeM bukan sahaja dapat memperluaskan jaringan penyelidikan antarabangsa, malah berpeluang memperkukuh pemindahan teknologi, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada agenda transformasi teknologi negara,” katanya.
Beliau berkata, hasil penyelidikan itu dijangka memberi manfaat kepada pembangunan industri elektronik, teknologi kesihatan, tekstil pintar dan sistem sensor generasi baharu yang menjadi antara fokus utama Revolusi Industri 4.0.
Program Malaysia-China Science and Technology People-to-People Exchange Programme 2025 memberi tumpuan kepada beberapa bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga, vaksin, semikonduktor, bahan termaju dan teknologi baharu bagi memperkukuhkan kerjasama saintifik antara kedua-dua negara.
Kejayaan itu turut dijangka meningkatkan reputasi penyelidikan UTeM di peringkat global selain membuka peluang kepada geran antarabangsa, kolaborasi industri serta pengkomersialan teknologi pada masa hadapan