UTeM Terima Dividen RM 6.5 Juta Daripada UHSB
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima penyerahan dividen sebanyak RM 6.5 juta nilai dividen daripada UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Tun Canselor di kampus induk UTeM, baru-baru ini.
Penyerahan replika cek itu disampaikan sendiri Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri dan juga Canselor UTeM, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dalam majlis berkenaan.
Pada majlis tersebut UTeM juga turut menerima Program Iqra TH IPTA 2025 daripada Tabung Haji bernilai RM 600,000.00, Sumbangan dana sarapan pagi percuma @ PLH daripada OCBC Al Amin bernilai RM40,633.00 dan sebuah van jenazah (Toyota Hiace Panel Van 3.0) daripada Sime UMW yang bernilai RM152,000.00.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, dividen sebanyak RM 6.5 juta diterima daripada anak syarikat UTeM yang terus mempamerkan prestasi yang memberangsangkan.
“Sementara itu, 3 sumbangan yang diterima itu menggambarkan hubungan strategik dan jalinan kerjasama baik yang sedia terjalin antara UTeM dan sektor korporat di negara ini,” ujarnya.
Mengulas tentang aktiviti UTeM bagi menyemarakkan bulan Ramadan mulia ini Pusat Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM telah menjalankan pelbagai program menarik.
“Antaranya seperti gotong-royong memasak bubur lambuk, Majlis Berbuka Puasa pada hari bekerja, Penyediaan Juadah Sahur, Majlis Khatam Al-Quran Perdana UTeM, Qiamullail & I’tikaf Perdana, Tadarus Al-Quran Harian, dan Solat Sunat Tarawih secara Berjemaah pada setiap hari,” katanya.
Menurut Massila, sempena bulan Ramadan ini juga UTeM turut aktif menggiatkan program-program merakyatkan universiti seperti Program Jalinan Kasih Ramadhan Anak-Anak Chow Kit bersama Warga UTeM dan Alumni UTeM
“Menyampaikan sumbangan kepada anak yatim melalui program Tautan Kasih Ramadhan FTKEK 2026, Sadaqah Musafir, dan penyerahan Kit Makanan melalui program Sentuhan Kasih Ramadhan UTeM yang dijalankan di beberapa buah lokasi sekitar negeri Melaka.
Mengulas lanjut Massila menyatakan UTeM telah mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban warga universiti melalui sumbangan Hari Raya kepada Pelajar Asnaf UTeM (50 pelajar dengan nilai RM16,000) melalui Tabung Amal Jariyah UTeM, dan sumbangan Program Door 2 Door Warga UTeM Berkeperluan (20 staf dengan nilai RM10,000 melalui Tabung Amal Jariyah UTeM).
Turut hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Tun Canselor, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Zahriladha Zakaria dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif