Pertama Dalam Negara: UTeM Tubuh Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI-LEAD UTeM)
Sentiasa Merintis Sentiasa Menerajui, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI-LEAD UTeM) yang merupakan pertama dalam negara.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penubuhan AI-LEAD UTeM bertujuan memperkukuh peranan UTeM sebagai universiti teknikal peneraju dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja celik teknologi, malah berkeupayaan memimpin era kecerdasan buatan secara beretika, strategik dan bertanggungjawab.
Jelasnya, AI-LEAD UTeM akan berfungsi sebagai pusat pemikir dan pakar rujuk di peringkat negara, serantau dan global yang akan melaksanakan aktiviti latihan dan pembangunan, penyelidikan, perundingan, pembangunan polisi dan governan, pemindahan ilmu berkaitan kepimpinan di era kecerdasan buatan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Pelan Strategik UTeM 2026–2030 serta keperluan nasional dan industri.
Katanya, penubuhan AI-LEAD UTeM ini memberi impak langsung kepada pembangunan kepimpinan nasional dan global berteraskan Kepintaran Buatan di samping meledakkan pada rangkaian pembangunan akademik dan institusi.
“Memperkukuhkan budaya latihan dan pembangunan, perundingan, penyelidikan dan inovasi berteraskan kecerdasan buatan melalui pembangunan model kepimpinan kecerdasan buatan, penerbitan ilmiah berimpak tinggi serta penghasilan kertas polisi yang relevan dengan keperluan industri dan negara.” Ujarnya.
Mengulas tentang pelaksanaan, Massila menyatakan secara fizikal AI-LEAD UTeM telah memulakan operasinya sejak hujung Februari yang lalu dan pembangunannya menerusi 3 fasa yang mana fasa 1 Penubuhan pusat, pelantikan pengurusan, pembangunan polisi & pelan strategik.
“Sementara itu fasa 2 melibatkan pelaksanaan latihan, penyelidikan, konsultasi & kolaborasi industri manakala fasa 3 pula adalah Pensijilan, pengantarabangsaan, penjanaan pendapatan dan pemantapan KPI.
“Fasa 3 merupakan fasa yang mana AI-LEAD UTeM akan menyerlah sebagai pusat rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau sewaktu Majlis Peluncuran AI-LEAD UTeM yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka dan juga Canselor UTeM, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama Tun Canselor turut merasmikan Galeri Cheng Ho UTeM bertempat Perpustakaan Laman Hikmah yang mana penubuhan galeri ini mencerminkan komitmen dan kerjasama akademia-industri serta pertukaran budaya antara Malaysia dan China.
Galeri ini dijangka berfungsi sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan pertukaran budaya, khususnya dalam bidang sejarah maritim, hubungan antarabangsa serta kajian budaya.
Turut disempurnakan perasmian adalah Galeri dan Kedai Buku Penerbit UTeM Press yang merupakan satu inisiatif strategik universiti dalam memperkasa ekosistem penerbitan ilmiah serta memperluaskan akses kepada bahan bacaan akademik berkualiti khususnya hasil penerbitan UTeM.
Seterusnya, Tun Canselor turut menyempurnakan perasmian OCBC Al-Amin AZKA–PPZ Knowledge Lounge @ UTeM yang terletak di Aras 2, Perpustakaan Laman Hikmah UTeM.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara OCBC Al-Amin Bank Berhad, Akademi Zakat (AZKA), Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dan UTeM dalam mewujudkan ruang pembelajaran yang lebih kondusif, moden dan selesa kepada warga universiti, sekali gus menyokong aktiviti perbincangan, kolaborasi serta pembelajaran santai.