Skip to main content
23 November 2026

Naib Canselor UTeM Harumkan Nama Negara, julang Movers and Shakers Award 2026

Keupayaan kepimpinan mencetus perubahan, memperkasa pembangunan insan dan menerajui transformasi institusi sekali lagi mengangkat nama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di pentas antarabangsa apabila Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, dinobatkan sebagai penerima Movers and Shakers Award pada The Asia HRD Awards 2026 yang berlangsung di Millennium Hilton, Bangkok, Thailand, semalam.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Education Malaysia Global Service (EMGS) dan dengan kemenangan ini beliau telah menerima sebuah piala dan sijil kecemerlangan sebagai pengiktirafan antarabangsa yang menyumbang kepada kemajuan pembangunan manusia dan organisasi.

Menurut kenyataan UTeM, lebih daripada sekadar kejayaan individu, penganugerahan itu membawa signifikan besar kepada UTeM kerana mencerminkan pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik universiti dalam menggerakkan agenda pembangunan modal insan, inovasi organisasi dan transformasi institusi.

“Kejayaan berkenaan turut memperlihatkan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik dan penyelidikan, malah turut bergantung pada keupayaan kepimpinannya membina budaya perubahan, mencorakkan masa depan organisasi dan menghasilkan impak yang melangkaui sempadan institusi.

The Asia HRD Awards merupakan inisiatif bebas bertaraf antarabangsa yang diperkenalkan sejak 2003 bagi mengiktiraf individu, profesional, pengamal sumber manusia dan organisasi yang memberikan sumbangan signifikan terhadap pembangunan manusia, komuniti serta masyarakat.

Dengan penglibatan penerima dari 25 negara, anugerah berkenaan menjadi platform pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan, sumbangan dan amalan terbaik dalam pembangunan sumber manusia serta kecemerlangan organisasi.

Penganugerahan Movers and Shakers Award itu turut menambah satu lagi pencapaian penting dalam senarai pengiktirafan yang diraih Massila, termasuk World Outstanding Education Leadership Award 2026, World Women Empowerment Impact Award 2026, Education Transformation Leadership Award 2026 dan Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia 2026.

Beliau turut menerima World Responsible AI Leadership Award 2025, Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award 2025 serta World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award 2024.

Menurut pihak UTeM, deretan pengiktirafan berkenaan mencerminkan keluasan sumbangan dan kepimpinan beliau dalam bidang pendidikan tinggi, pemerkasaan wanita, kecerdasan buatan (AI) serta transformasi pendidikan.

Kepelbagaian bidang yang mendapat pengiktirafan itu turut memperlihatkan kepentingan kepimpinan yang berpandangan jauh, responsif terhadap perubahan dan berupaya menterjemahkan aspirasi organisasi kepada inisiatif pembangunan yang memberikan manfaat lebih luas.