Jalinan Kasih Ramadan: UTeM Turun Padang Santuni Komuniti dan Anak-anak Chow Kit
Kuala Lumpur: Keprihatinan terhadap kebajikan serta pembangunan pendidikan anak-anak komuniti bandar diterjemahkan melalui penganjuran Program Jalinan Kasih Ramadan Anak-Anak Chow Kit bersama Keluarga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berlangsung di sekitar Chow Kit, di sini baru-baru ini.
Program berteraskan kebajikan dan pembangunan komuniti itu digerakkan menerusi Keluarga UTeM yang terdiri daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Alumni UTeM, Yayasan Canselor UTeM serta Pusat Islam UTeM.
Menariknya projek ini turut melibatkan seramai 20 orang pelajar UTeM yang turun berganding bahu yang terdiri daripada 10 pelajar Kor SUKSIS dan 10 pelajar Kelab Tuah Volunteer Team (TVT) UTeM.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh, berkata program ini menzahirkan komitmen universiti dalam memastikan ilmu, kepakaran dan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh warga universiti dapat dimanfaatkan oleh masyarakat secara langsung.
“UTeM sentiasa komited untuk mendekati komuniti melalui pelbagai inisiatif yang bukan sahaja memberi sumbangan kebajikan, tetapi juga menyokong pembangunan pendidikan serta potensi generasi muda.
“Program seperti ini menjadi medan dan peluang kepada warga universiti untuk turun padang, memahami realiti masyarakat serta berkongsi kepakaran demi manfaat bersama,” katanya.
Pengarah Program yang juga Pengarah Penerbit UTeM, Dr Ruziah Ali menyatakan inisiatif menjayakan projek ini turut mendapat kerjasama erat daripada rakan komuniti iaitu Pusat Pendidikan Komuniti Chow Kit (PPKCK) dan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti pembangunan komuniti sepanjang program berlangsung.
“Seawal pagi, para sukarelawan Keluarga UTeM memulakan aktiviti rewang dengan menyediakan dan membungkus sebanyak lebih 500 pek juadah secara gotong-royong yang mana 300 pek diagihkan kepada anak-anak Chow Kit dan selebihnya buat komuniti setempat untuk berbuka puasa.
“Program kemudiannya diteruskan dengan majlis iftar bersama di SBJK sebelum ditutup dengan solat tarawih berjemaah dalam suasana penuh kesyukuran, kebersamaan dan ukhwah.
“UTeM menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Pusat Pendidikan Komuniti Chow Kit (PPKCK) serta Pertubuhan Jejak Jalanan sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh organisasi berkenaan.
“Selain aktiviti kebajikan, program tersebut turut menampilkan beberapa inisiatif pembangunan komuniti, antaranya termasuk Kelas Media yang dianjurkan khas untuk guru-guru di Pusat Pendidikan Komuniti Chow Kit (PPKCK) bagi berkongsi pengetahuan berkaitan penggunaan media dan komunikasi secara lebih berkesan dalam proses pembelajaran,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program Bersama yang merupakan pelajar tahun 3 program
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pemasaran Teknologi Tinggi) dengan Kepujian, Muhammad Nurhakimi Asmadi mengulas, bagi anak-anak Chow Kit pula, sesi Kelas Kaunseling diadakan sebagai ruang sokongan yang memberi penekanan kepada pembangunan emosi, motivasi serta keyakinan diri bagi membantu mereka membina perspektif yang lebih positif terhadap kehidupan dan masa depan.
“Manakala komuniti setempat turut didedahkan dengan aktiviti Kelas Pembuatan Lilin yang bukan sahaja memperkenalkan kemahiran kreatif, malah berpotensi menjadi kemahiran tambahan yang boleh dimanfaatkan sebagai peluang menjana pendapatan kecil kepada masyarakat,” katanya lagi.
Turut bersama hadir dan menjayakan program ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.