UTeM buka laluan profesional industri ke peringkat kedoktoran
Pengalaman dan kepakaran dalam lapangan industri kini berpotensi diterjemahkan kepada penyelidikan di peringkat kedoktoran menerusi Program Doktor Amalan Profesional (DPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang diperkenalkan sebagai program kedoktoran berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama di Malaysia.
Berbeza dengan pendekatan pengajian konvensional, program itu memberi penekanan kepada pengalaman profesional dan permasalahan sebenar di tempat kerja sebagai asas penyelidikan bagi menghasilkan penyelesaian inovatif yang mampu memberi impak langsung kepada industri.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Dr. Zahriladha Zakaria, berkata kerjasama erat antara universiti dengan industri penting bagi memastikan kepakaran akademik dan pengalaman profesional dapat digembleng untuk menangani cabaran sebenar sektor industri.
“Universiti dan industri perlu bergerak seiring bagi memastikan penyelidikan yang dilaksanakan bukan sekadar menghasilkan pengetahuan baharu, tetapi turut mampu menyelesaikan permasalahan sebenar di lapangan.
“Menerusi DPP, pengalaman dan kepakaran profesional industri boleh dikembangkan secara sistematik menjadi penyelidikan pada peringkat kedoktoran, sekali gus membuka ruang kepada penghasilan inovasi serta penyelesaian yang memberi nilai tambah kepada industri dan negara,” katanya.
Pendekatan itu diketengahkan menerusi program DPP UTeM Industry Outreach & Engagement Programme anjuran Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, yang menghimpunkan profesional, jurutera, pengurus serta pemimpin teknikal industri.
Program berkonsepkan hi-tea itu menjadi platform untuk memperkenalkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran menerusi pendekatan Professional Practice-Based Learning (PPBL), yang menghubungkan pengalaman kerja dengan penyelidikan berasaskan amalan profesional.
Sesi perkongsian Discover DPP UTeM: Transforming Industry Experience into Doctoral Impact oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Shahril Ahmad Khiar mengetengahkan bagaimana pengalaman profesional dan cabaran di tempat kerja boleh diterjemahkan kepada penyelidikan yang menghasilkan penyelesaian inovatif serta impak kepada organisasi.
Pendekatan itu memberi peluang kepada golongan profesional memanfaatkan kepakaran yang dibangunkan sepanjang kerjaya sebagai asas untuk mengenal pasti masalah, menilai penyelesaian dan menghasilkan penambahbaikan berasaskan penyelidikan.
Sementara itu, sesi DPP UTeM: Understanding Postgraduate Research Regulations- From Admission to Examination oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jeefferie bin Abd Razak memberikan penerangan mengenai perjalanan pengajian DPP, merangkumi proses kemasukan, pelaksanaan penyelidikan, pemantauan kemajuan serta penilaian dan peperiksaan.
Bagi memperluas peluang kepada profesional berpengalaman, UTeM ACCESS turut berkongsi maklumat mengenai laluan kemasukan menerusi Accreditation of Prior Experiential Learning for Access (APEL.A), tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Inisiatif itu mencerminkan usaha UTeM merapatkan jurang antara dunia akademik dengan industri, di samping memperluas ruang kepada golongan profesional untuk meningkatkan kelayakan dan menyumbang kepada pembangunan ilmu berasaskan pengalaman sebenar.
Turut hadir Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) UTeM, Prof. Ts. Dr. Musthafah Mohd Tahir; Dekan FTKE, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Fani Sulaima; Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan, Prof. Ir. Dr. Mohd Asyadi’ Azam Mohd Abid; serta Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Madya Dr. Nadlene Razali, bersama barisan pengurusan universiti, ahli akademik dan wakil industri.