Skip to main content
22 September 2026

Menyemarakkan STEM: Dekan-Dekan ICT Satu Malaysia Turun Padang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil

MELAKA - Sebanyak 14 kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini bertukar menjadi ‘makmal teknologi’ apabila 379 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga berpeluang meneroka dunia sains dan teknologi bersama 24 Dekan dan Wakil Dekan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dari 23 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, baru-baru ini.

Menerusi program TECHventure! – Jelajah Dunia Teknologi Bersama Dekan-Dekan ICT, pelajar bukan sahaja diperkenalkan kepada perkembangan teknologi semasa, malah diberi peluang berinteraksi secara langsung dengan barisan pemimpin akademik dalam bidang ICT tanahair.

Program anjuran Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka itu berlangsung selama setengah hari.

Ia diadakan sebagai komponen khidmat masyarakat (CSR) sempena Mesyuarat Majlis Dekan-Dekan ICT Universiti Awam Malaysia (MaDICT) Bil. 3/2026, yang dihoskan UTeM di Melaka pada 10 dan 11 September lalu.

Setiap kelas dikendalikan seorang Dekan atau Wakil Dekan ICT sebagai penyampai maklumat dengan dibantu seorang fasilitator daripada kalangan pensyarah FTMK UTeM.

Pendekatan secara interaktif itu memberi ruang kepada pelajar memahami bidang teknologi dengan lebih dekat, termasuk potensi pengajian dan kerjaya dalam STEM, sekali gus membantu mereka membuat pilihan aliran akademik dengan lebih yakin.

Dekan FTMK UTeM, Prof. Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi, berkata pendedahan awal terhadap bidang STEM penting bagi membentuk aspirasi pendidikan dan kerjaya generasi muda.

“Program ini dirangka khusus untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga tentang kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus membantu mereka membuat pemilihan aliran akademik dengan lebih yakin dan bermaklumat.

“Saya berharap interaksi bersama Dekan-Dekan ICT pada hari ini memberi impak nyata dalam membentuk aspirasi kerjaya adik-adik dalam bidang teknologi, seterusnya melahirkan lebih ramai bakal peneraju teknologi negara,” katanya.

Pada program itu turut berlangsung pelancaran rasmi TECHventure! yang disempurnakan Pengerusi MaDICT, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin daripada Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerusi penandatanganan plak akrilik.

Lebih menarik, setiap pelajar turut menerima kit pembelajaran untuk digunakan selepas program berkenaan sebagai kesinambungan pembelajaran STEM.

Kit itu ditaja sepenuhnya menerusi komponen Young Engineers Explorers Programme (YEEP) di bawah Program Tuisyen STEM, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketua/Pengarah Program TECHventure!, Ts. Dr. Zuraini Othman, berkata program berkenaan digerakkan 14 pensyarah FTMK yang bertindak sebagai fasilitator di setiap kelas dengan sokongan Ahli Jawatankuasa Pelaksana FTMK.

Beliau yang juga Pengarah Program YEEP FTMK UTeM berkata, pendekatan itu membolehkan pelajar mendapat pendedahan secara lebih dekat dan santai terhadap bidang ICT, di samping melihat sendiri kepelbagaian peluang yang tersedia dalam bidang teknologi.

Program itu turut menyokong aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai bakat teknologi, selain selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur.