Kecemerlangan Pengurusan Data: Penarafan MyMoheS UTeM Capai Markah Penuh 5 Bintang
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempamerkan kecemerlangan berterusan yang mana pada kali ini UTeM telah mendapat pengiktirafan dengan pencapaian markah penuh 5 bintang dalam penarafan Sistem Pengumpulan Data Universiti Awam (MyMoheS) Tahun 2025, baru-baru ini.
MyMoheS merupakan pengukuran, penilaian dan pengiktirafan yang dilaksana jayakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap kesemua universiti awam dalam negara.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan yang menzahirkan gambaran jelas bahawa sistem pengurusan dan pelaporan data di UTeM berada pada tahap yang sangat cemerlang, telus serta mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh KPT dan nasional.
Jelasnya, pencapaian ini sudah tentu menyerlahkan keterlihatan UTeM selaku universiti awam berprestasi terbaik dalam aspek tadbir urus data, sekali gus memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan terhadap keupayaan universiti dalam mengurus maklumat strategik.
“Justeru, ia meningkatkan keyakinan pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian, industri, rakan kerjasama serta komuniti terhadap keupayaan universiti dalam mengurus data dan maklumat institusi secara profesional,” ujarnya.
Berkongsi faktor yang mendorong ke arah pencapaian berprestij ini, Massila menyatakan ia berteraskan kepada 3 mekanisma utama yang menjadi resipi kami bagi mencapai kejayaan ini.
“Tiga perkara tersebut adalah komitmen tinggi pihak pengurusan, pemilik data dan pegawai IT dalam proses semakan dan pengesahan data yang lebih tersusun serta penambahbaikan berterusan berbanding pencapaian sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang perancangan masa depan UTeM dalam agenda ini beliau menyatakan beberapa perancangan strategik dan berimpak tinggi telah digariskan bagi memastikan kelangsungan kejayaan berterusan.
Katanya, UTeM akan terus memperkukuh sistem tadbir urus dan pengurusan data universiti dalam aspek prosedur operasi standard (SOP) serta mekanisme pemantauan bagi memastikan integriti data sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Pada masa yang sama UTeM akan memperluas penggunaan sistem digital dan integrasi pangkalan data bagi meningkatkan kecekapan pengurusan data serta meminimumkan ralat pelaporan.
“Seterusnya memperkasakan budaya pengurusan data berintegriti menerusi latihan, kesedaran dan pembangunan kapasiti kepada pemilik data dan pegawai IT yang akan diperkukuhkan bagi membudayakan pengurusan data yang berkualiti tinggi secara berterusan,” ujarnya.