Skip to main content
10 March 2026

UTeM Unggul Menjulang Kecemerlangan di Persada Dunia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya melancarkan Pelan Strategik UTeM (PSU) 2026-2030 berteraskan kepada tema Memperkasa Universiti Menjulang Kecemerlangan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pembangunan Pelan Strategik UTeM ini mengambil kira pelbagai dokumen dasar utama di peringkat nasional, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Kerajaan Negeri Melaka dan dokumen strategik dalaman universiti dan tentunya turut berkisarkan kepada Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM).

Jelasnya, PSU 2026-2030 diformulasikan dengan 5 teras strategik utama yang terdiri daripada Teras Strategik 1 (ST1): Menjuarai TVET, Mengungguli Kerjaya, ST2: Memperkasa RDICE, Melestari Universiti, ST3: Memperkasa TUAH TEJA, Memperhebat Graduan, ST4: Memperkasa Ekosistem Rancak, Mensejahtera Jagat dan ST5: Memperkasa Penjenamaan, Mengungguli Kemakmuran.

Katanya, Pelan ini diperincikan melalui 22 strategi, 73 inisiatif utama, dan 286 petunjuk prestasi dengan memberi tumpuan terhadap penawaran program akademik TVET, pemerkasaan penyelidikan dan inovasi, peningkatan kualiti graduan, pemindahan ilmu serta pemantapan tadbir urus, pengantarabangsaan dan daya saing institusi.

Menurutnya, ST1 bertujuan memacu UTeM sebagai universiti teknikal terunggul, memimpin pendidikan TVET berasaskan kreativiti dan inovasi, serta melahirkan tenaga kerja mahir.

“ST2 memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan, inovasi, komersialisasi dan keusahawanan bagi memastikan kelestarian universiti dalam jangka masa panjang.

“ST3 memberi penekanan kepada pengukuhan agenda TUAH TEJA dalam usaha memperkasa pembangunan holistik pelajar dan graduan UTeM agar berdaya saing, berintegriti serta memiliki ciri keusahawanan dan kepimpinan yang unggul.

“ST4 menumpukan kepada pemantapan ekosistem universiti yang inklusif, mampan, dan sejahtera bagi menyokong kelestarian pembangunan warga serta kesejahteraan komuniti sejahat.

“Manakala ST5 pula memberi tumpuan kepada pemerkasaan penjenamaan dan reputasi UTeM di peringkat nasional dan antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju pendidikan teknikal terkemuka di dunia,” ujarnya.

Mengulas lanjut Massila berkata, UTeM yakin bahawa PSU 2026-2030 ini bakal menjulang UTeM untuk terus menyerlahkan jenamanya di persada global sebagai universiti teknikal yang ulung dan ini merupakan kesinambungan momentum keberhasilan PSU 2023-2025 yang lalu.

Jelasnya, pencapaian unggul prestasi cemerlang bagi lima (5) teras strategik PSU 2023-2025 melonjakkan jenama UTeM antaranya dinobatkan sebagai Universiti Awam Terbaik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

“Pada masa yang sama, UTeM turut mencatatkan peningkatan enrolmen pelajar yang ketara dari tahun ke tahun, iaitu daripada 13,749 pelajar pada tahun 2023 meningkat kepada 19,123 pelajar pada tahun 2024 dan seterusnya 21,261 pelajar pada tahun 2025.

“Di samping itu, UTeM turut mencipta nama sebagai universiti yang telah tersenarai dalam kalangan universiti terbaik dunia menerusi penarafan dalam QS World University Rankings, Times Higher Education (THE) World University Rankings, QS World University Rankings (Sustainability) serta UI Green Metric World University Rankings,” ulasnya lagi.