Skip to main content
04 March 2026

UTeM Capai Pengiktirafan 5 Kategori Anugerah Bandar Rendah Karbon Peringkat Nasional

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempamerkan kecemerlangan berganda apabila telah berjaya mencapai 5 pengiktirafan menerusi Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C), baru-baru ini.

LCC2030C merupakan inisiatif negara untuk mencapai sasaran mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar rendah karbon dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

Menerusi LCC2030C UTeM telah berjaya mencapai 5 pengiktirafan yang mana pengiktirafan pertama bagi ketegori Zon, UTeM telah berjaya mendapat pengiktirafan 4 Diamond Rating Award dengan kadar pengurangan emisi karbon sebanyak 7,259.40 tCO2eq iaitu 37.24% berbanding ‘baseline’ (bacaan tahun asas) melalui elemen tenaga, air dan sisa.

Seterusnya 4 pengiktirafan seterusnya menerusi kategori rakan kongsi bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), UTeM telah mendapat pengiktirafan 5 Diamond Rating Award bagi Kompleks Penyelidikan dan Inovasi (KPI) dan Kompleks Dewan Kuliah dengan pengurangan emisi karbon lebih 50% berbanding baseline.

Diikuti pengiktirafan 4 Diamond Rating Award bagi Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK), Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP).

Sementara itu, Pusat Kesihatan UTeM (PKU) pula turut diberi pengiktirafan 3 Diamond Rating Award manakala Canselori dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mencapai 1 Diamond Rating Award.

Mengulas tentang pencapaian ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa seiringan dan komited dalam mencapai hasrat negara ke arah bandar rendah karbon.

“Kemenangan ini jelas menzahirkan bagaimana komitednya UTeM dalam menggerakkan seluruh jentera dalam proses pengukuhan amalan rendah karbon seterusnya menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara,” ujarnya.

Anugerah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Low Carbon Cities Framework (LCCF) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta dilaksanakan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur.

Dengan kemenangan UTeM telah menerima sijil dan plak dan UTeM telah diwakili oleh Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi), Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Idzdihar Idris.

Turut hadir Penolong Pengurus Tenaga FTKEK, Ts. Dr. Sharatul Izah Samsudin dan Penolong Pengurus Tenaga FTKE, Norhazilina Bahari.