Graduan UTeM Terus Jadi Buruan Industri, 99.2 Peratus Terus Bekerja
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai universiti awam TVET terbaik negara apabila mencatat lonjakan memberangsangkan dalam kadar kebolehpasaran graduan, kadar bekerja serta peningkatan gaji premium bagi tahun 2025.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, data terbaharu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuktikan graduan universiti itu terus mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Katanya, kadar bekerja graduan (GE) UTeM meningkat kepada 99.2 peratus pada tahun 2025 berbanding 97.9 peratus pada tahun sebelumnya.
“Bagi kadar kebolehpasaran graduan (GM), UTeM turut merekodkan peningkatan kepada 98.7 peratus berbanding 98.1 peratus pada 2024.
“Lebih membanggakan, graduan yang bekerja dalam bidang pengajian masing-masing turut meningkat daripada 65.1 peratus pada 2024 sebelum melonjak kepada 70.1 peratus pada tahun ini membabitkan seramai 1,698 graduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pencapaian semasa kebolehpasaran graduan UTeM bagi tahun 2025.
Menurutnya, trend peningkatan pendapatan graduan turut membuktikan pengiktirafan industri terhadap kualiti bakat yang dilahirkan universiti berkenaan.
Katanya, jumlah graduan memperoleh gaji premium RM4,000 ke atas juga meningkat kepada 279 orang atau 11.8 peratus pada tahun ini berbanding hanya 256 orang atau 10.8 peratus pada 2024.
“Selain itu, seramai 488 graduan atau 20.6 peratus memperoleh gaji RM3,500 ke atas pada tahun ini berbanding hanya 19.6 peratus pada 2024.
“Purata gaji bulanan graduan juga meningkat kepada RM2,821.70 pada 2025 berbanding RM2,742.80 pada 2024,” katanya.
Massila berkata, kejayaan itu didorong oleh kurikulum pengajian yang sentiasa selari dengan kehendak industri dan majikan semasa.
Beliau berkata, sokongan berterusan KPT melalui dana intervensi kebolehpasaran graduan termasuk pensijilan profesional serta jaminan penempatan pekerjaan turut menjadi faktor penting kepada pencapaian berkenaan.
“UTeM bukan sekadar melahirkan graduan yang mudah mendapat pekerjaan, malah berjaya menghasilkan bakat berkualiti tinggi yang diiktiraf industri melalui peningkatan pendapatan yang signifikan,” katanya.