Sokong Agenda Nasional: UTeM anjur Program Telaah perkasa budaya ilmu
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyokong agenda nasional dalam memperkasa budaya ilmu menerusi penganjuran Program Telaah Bersama Naib Canselor UTeM yang berlangsung di Auditorium Canselori universiti itu, baru-baru ini.
Program anjuran Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu diadakan bagi memperkukuh budaya membaca dan menyemai kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan warga kampus.
Ketua Pustakawan PLH UTeM, Siti Saluwa Jamal, berkata program itu selaras dengan aspirasi kepimpinan universiti untuk melahirkan modal insan berpengetahuan luas, berfikiran kritis dan berdaya saing.
“Program ini memberi ruang kepada warga universiti untuk menghayati kandungan buku secara analitis dan mendalam, sekali gus merangsang percambahan idea serta pembangunan sahsiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program telaah buku Legacy karya James Kerr yang mengetengahkan nilai kepimpinan, disiplin dan warisan kecemerlangan.
Program itu dikendalikan moderator, Sayed Munawar Sayed Mustar, yang berjaya menghidupkan suasana wacana ilmiah sepanjang sesi berlangsung.
Siti Saluwa berkata, penganjuran program berkenaan turut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong usaha KPT memperkasakan agenda pemartabatan ilmu, inovasi dan kreativiti di institusi pengajian tinggi.
Katanya, perpustakaan bukan sekadar pusat rujukan akademik, malah berperanan sebagai institusi penting dalam membudayakan pembacaan dan amalan intelektual dalam kalangan masyarakat kampus.
“Penglibatan kepimpinan tertinggi universiti dalam aktiviti ilmiah seperti ini memberi inspirasi kepada warga kampus dan memperlihatkan kepimpinan berteraskan ilmu serta kecemerlangan pemikiran,” katanya.
Program itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Zahriladha Zakaria; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif; Ketua Pegawai Operasi, Masdzarif Mahat serta pegawai kanan universiti.
Turut hadir wakil agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UTeM.
Dalam perkembangan sama, UTeM merancang memperluaskan skop Program Telaah pada masa depan dengan menampilkan lebih ramai tokoh akademik, penulis, pemain industri dan kepimpinan universiti sebagai panel pembentang.
Program itu juga dicadang dilaksanakan secara berkala di peringkat fakulti dan universiti bagi memastikan budaya membaca serta wacana intelektual terus diperkasakan dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat