Skip to main content
05 May 2026

Dua Inovasi Ciptaan Pelajar UTeM Berpotensi Bantu Komuniti Jepun

Dua produk inovasi hasil ciptaan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dilihat berpotensi besar dalam membantu menyelesaikan beberapa permasalahan komuniti di Jepun, khususnya berkaitan situasi kecemasan dan pasca bencana.

Produk berkenaan, TAJU Charger dan Flood Education Recovery Kit, dibangunkan oleh empat pelajar daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP) melalui program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dengan Kepujian.

Pelajar terbabit ialah Muhammad Naim Badaruddin, Muhammad Rusyaidi Hashim, Irra Shahidah Izdihar dan Nur Arisha Syamira Mohd Shamsul di bawah bimbingan pensyarah, Profesor Madya Ts Dr Norfariza Ab Wahab.

TAJU Charger direka sebagai alat pengecas telefon mudah alih bersaiz kompak yang mampu mengecas pelbagai peranti dalam satu masa, sekali gus sesuai digunakan di kawasan bencana atau pusat pemindahan sementara yang mempunyai kekangan sumber tenaga.

Sementara itu, Flood Education Recovery Kit pula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan video pendidikan interaktif berkaitan penjagaan kebersihan, langkah keselamatan serta aktiviti permainan yang sesuai untuk mangsa banjir, khususnya kanak-kanak.

Kedua-dua inovasi ini adalah hasil kerjasama antara UTeM, Nagaoka University of Technology (NUT), Jepun dan Shibata City Office, Niigata melalui projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Menurut Dekan FTKIP, Profesor Dr Mohd Asyadi Azam Mohd Abid, projek berkenaan dibangunkan berdasarkan permasalahan sebenar yang dikemukakan oleh komuniti di Jepun sebelum pelajar menghasilkan penyelesaian menggunakan pendekatan Design Thinking.

“Daripada tujuh projek akhir yang dibentangkan, hanya dua dipilih untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Ujarnya, sepanjang pelaksanaan projek, pelajar perlu melalui dua peringkat penilaian, iaitu pembentangan pertengahan (iESF) dan pembentangan akhir bersama panel dari NUT.

“Simposium iESF: Innovating for Impact: 50 Years of Engineering a Sustainable Future merupakan persidangan yang dianjurkan bersama oleh (FTKIP, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), serta Kilang Pengajaran (TF) yang melibatkan semua pihak dalam MoU antara UTeM dan NUT.

“Kemuncak program menyaksikan pelajar UTeM membentangkan hasil inovasi mereka dalam The 3rd Industry-Academia-Government Collaboration Workshop for Regional Development yang berlangsung di Shibata City Hall, Jepun, baru-baru ini” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata pencapaian ini membuktikan keupayaan pelajar universiti tersebut dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang bukan sahaja relevan di peringkat tempatan, malah mampu memberi manfaat kepada komuniti antarabangsa.

Menurut beliau, penglibatan aktif pelajar dalam projek berasaskan komuniti global seperti ini selari dengan agenda pengantarabangsaan universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta peka terhadap keperluan masyarakat sejagat.

“UTeM akan terus menyokong inisiatif sebegini bagi memastikan ekosistem pendidikan yang holistik dapat diperkasa, sekali gus menggalakkan lebih banyak inovasi yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, program berkenaan menghimpunkan pihak industri, akademia dan kerajaan bagi membincangkan penyelesaian inovatif untuk pembangunan serantau dan penyertaan itu turut diiktiraf sebagai mobiliti outbound bukan kredit, selaras dengan usaha pengantarabangsaan UTeM dalam melahirkan graduan berdaya saing global.

Inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan berimpak tinggi melalui gabungan elemen teknikal, inovasi dan khidmat kepada masyarakat di peringkat antarabangsa.

“Live never stop learning” menjadi aspirasi yang dizahirkan menerusi kejayaan pelajar membawa nama universiti dan negara ke persada dunia