Skip to main content
11 January 2024

UTeM Lengkapkan Mahasiswi Teknikal Dengan Pakej Pembangunan Keyakinan Diri Personaliti Menarik

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melengkapkan mahasiswi teknikalnya dengan pembangunan imej diri dengan pakej personaliti berkeyakinan diri, kredibiliti tinggi dan berpenampilan menarik.

Selari dengan itu, seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswi UTeM dan sebilangan kecil orang luar sekitar Melaka telah menyertai program Glam Touch: "Make Me Beautiful", baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa/i (JAKSIS) Satria (Lekiu), UTeM yang telah diadakan di salah sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

Pengetua Kolej Kediaman Siswa/i Satria (Lekiu) UTeM, Nur Maizatull Hafyfa Ahmad Tajudin, berkata, ini merupakan platform menarik yang memberi manfaat besar buat mahasiswi UTeM yang menyertainya bagi mengasah kemahiran dan bakat menata rias solekan wajah.

“Ia turut menjadi panduan agar mahasiswi teknikal UTeM terus berketrampilan menarik dan menjadikan mereka memiliki pakej lengkap sebagai profesional teknikal yang turut berpersonaliti menarik.

“Program bersama Perunding Kecantikan, Ismaliza Ismail ini turut memberikan pendedahan kepada mahasiswi UTeM tentang teknik solekan yang betul untuk kecantikan wajah seseorang individu serta asas penjagaan kulit wajah selepas mengenakan solekan.

“Melalui program ini juga, peserta dapat meningkatkan keyakinan diri pelajar apabila berhadapan dengan orang ramai,” ujarnya, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, program berfokus seumpama ini menonjolkan kelainan dan berupaya menyuntik motivasi serta meningkatkan keyakinan diri pelajar UTeM.

“Program Glam Touch: "Make Me Beautiful" ini juga turut menjadi sebahagian daripada elemen yang melengkapkan mahasiswi UTeM berteraskan kepada TUAH iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik.

“Program yang julungkali dianjurkan ini membawa sentuhan tersendiri dan mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dalam kalangan pelajar,” katanya.