Skip to main content
04 January 2024

TVET Aras Tinggi: UTeM Tawar 10 Program Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan Bagi Pengambilan Kemasukan Semester 2 (Mac) 2024

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan 10 program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan bagi kemasukan pelajar baharu untuk Semester 2 (Mac) Sesi 2023/2024.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, ini merupakan peluang keemasan yang dinantikan oleh ramai bagi melanjutkan pengajian dalam bidang TVET aras tinggi yang terus menjadi buruan industri.

Katanya, peluang ini terbuka kepada calon-calon lepasan Diploma / STPM / Politeknik / Matrikulasi / Asasi dan Diploma setarafnya yang masih belum mendapatkan tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi.

Ujarnya, pemohon perlu memiliki Keputusan MUET sekurang-kurangnya Band 2/2.0 dan boleh memohon secara dalam talian (percuma) dengan melayari laman sesawang www.utem.edu.my/kemasukan yang mana tarikh tutup permohonan adalah pada 9 Januari 2024 ini.

“Sepuluh program yang ditawarkan meliputi 5 program Kejuruteraan iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Industri Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer Dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik Dengan Kepujian.

“Manakala 5 program Teknologi Kejuruteraan pula adalah Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Proses dan Teknologi) Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Produk) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) Dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Elektronik Industri) Dengan Kepujian.

“Kesemua program tersebut merupakan pilihan utama pihak industri tempatan, nasional dan antarabangsa serta berdaya besar menyumbang kepada kebolehpasaran tinggi graduan,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.

Zulkifilie berkata, UTeM mempunyai keunikan tersendiri dengan pembelajaran berkonsepkan “Teaching Factory” manakala setiap program yang ditawarkan juga  dilengkapkan dengan pensijilan profesional di samping kurikulum yang disediakan tentunya menepati keperluan industri dunia.

“Hasilnya terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan UTeM terus mencatatkan peningkatan peratusan yang tinggi pada setiap tahun iaitu tahun 2020 (88.1%), 2021 (91.1%) dan 2022 (96.4%),” ujarnya lagi.