Skip to main content
22 January 2024

TVET Place & Train UTeM@KPT Formula Strategik UTeM Menerusi 4 Inisiatif Bagi Menawarkan 25,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Premium

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tampilkan formula strategik menerusi TVET Place & Train UTeM@KPT bagi menawarkan 25,000 peluang penempatan pekerjaan bergaji premium buat graduan.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, TVET Place & Train UTeM@KPT merupakan formula khas yang dibangunkan UTeM ini digerakkan melalui 4 inisitif kerangka utama yang terdiri daripada JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM).

Ujarnya, program berimpak tinggi ini juga dilihat sebagai gerbang kebolehpasaran graduan “serampang 4 mata” sejajar dengan konsep Ekonomi Madani di samping membantu komuniti dan negara secara keseluruhannya dalam menangani masalah pengangguran serta menyuntik pertumbuhan ekonomi mampan nasional.

“Inisiatif pertama menerusi JELITA@UTeM@KPT melahirkan 60 peratus tenaga kerja wanita dalam industri Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mana uniknya JELITA memberi penekanan kepada ‘high TVET’ menerusi kursus atau persijilan profesional Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau melibatkan badan-badan profesional.

“Sehingga kini JELITA telah mengorak langkah dengan sebanyak 2,700 pendaftaran direkodkan serta beberapa kursus ‘high TVET’ dilaksanakan melibatkan ‘machine learning’ (pembelajaran mesin) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Massila berkata, UTeM-Industrial Playground pula merupakan inisiatif berteraskan “Work-Based Learning” antara UTeM bersama lebih 200 buah syarikat industri pelbagai peringkat multinasional dan menyediakan lebih 10,000 peluang kerja TVET.

“Antara program kerjasama yang dijayakan adalah seperti “Teaching Factory”, “R&D Laboratory”, “WBL”, “2u2i”, Pusat Kajian “(research centre)” dan “3u1i” yang akan mewujudkan satu ekosistem industri dalam universiti.

“Agenda ini melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran yang menepati kehendak industri bersama pekej nilai tambah kepada graduan bagi memenuhi syarat gaji premium,” kataya.

Mengulas mengenai inisiatif ketiga beliau berkata, selari dengan Niche Area UTeM iaitu Advanced Manufacturing and Computing Technology maka UTeM telah diberikan mandat mengetuai Platform ketiga iaitu Industry-MTUN Cyber Security Consortium yang berperanan utama memberdaya kemahiran dan kemampuan pelajar-pelajar

MTUN dalam bidang Cybersecurity bagi memenuhi hasrat negara dengan untuk membekalkan 25,000 tenaga kerja dalam bidang ini.

“Akhir sekali, inisiatif keempat ialah National Industrial Career Expo (NICE@UTeM) dengan kerjasama Talentbank dalam TVET Place & Train UTeM@KPT menepati konsep “industry relevant” dan “job ready”.

“Ia kerana mendapat sambutan hebat daripada pelbagai pihak industri dengan jaminan peluang pekerjaan ditawarkan di dengan tawaran Gaji Premium(lebih RM 4,000.00) buat graduan di samping melonjakkan peratusan kebolehpasaran graduan lebih 97%,” ulasnya kepada pihak media massa.

Mengulas lanjut beliau berkata, program ini jelas menzahirkan betapa serius dan komitednya UTeM dalam merealisasikan hasrat KPT dan negara berkaitan kebolehpasaran graduan.

“Untuk makluman umum, UTeM menduduki tempat ke-4 bagi peratusan kebolehpasaran graduan Ijazah Pertama bekerja dalam bidang yang sama dan tempat ke-2 seluruh IPTA bagi peratusan kebolehpasaran graduan Ijazah Sarjana Muda Universiti Awam bagi tahun 2022.

“Melalui TVET Place & Train UTeM@KPT ini, kita menyasarkan 100% graduan bekerja dalam bidang menjelang 2030 nanti,” katanya.

Program TVET Place & Train UTeM@KPT yang berimpak nasional ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini di Dewan Canselor UTeM, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.