Skip to main content
21 December 2023

Pemerkasaan Penyelidikan dan Pelancongan: UTeM Jalin Kerjasama Strategik Dengan 2 Industri Gergasi China

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus proaktif melebarkan jalinan kerjasama dan perkongsian kepakaran bersama pihak industri peringkat antarabangsa di negara China.

Terbaharu, UTeM telah menzahirkan jalinan kerjasama dengan 2 industri gergasi China menerusi majlis menandatangani Surat Niat (LoI) bersama dengan Yunnan Fenglongwan Limited Company dan Shandong Fenyuan Chemical Stock Co. Ltd. di sana, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus ke hadapan dalam konteks memperkasakan jalinan kerjasama dan perkongsian kepakaran di peringkat global.

Ujarnya, ini juga adalah sebahagian daripada usaha komprehensif kami melebarkan sayap kerjasama strategik global dengan negara China yang umumnya ketahui kian berkembang maju dalam bidang teknologi dan ianya mencetuskan impak berangkai buat UTeM dan TVET negara.

“Jalinan kerjasama strategik antara UTeM dan Yunnan Fenglongwan tertumpu kepada perkongsian kepakaran dalam mempromosikan industri pelancongan, aktiviti promosi produk kesihatan Fenglongwan Limited Company di Malaysia di samping pertukaran staf dan pelajar antara kedua belah pihak,” ujarnya lagi.

Majlis menandatangani LoI tersebut telah diadakan di Kunming, Yunnan, China dan telah disempurnakan oleh UTeM yang diwakili Prof Massila manakala pihak Yunnan Fenglongwan pula diwakili Pengerusinya Ma Liyong.

Sementara itu, majlis menandatangani LoI bersama dengan Shandong Fenyuan Chemical Stock Co. Ltd. pula telah disempurnakan pada hari berikutnya di Yuxi City, China yang mana Shandong Fengyuan diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif Institut Penyelidikannya, Zhilei Tang.

Menurut Massila, kerjasama strategik antara UTeM dan Shandong Fenyuan pula adalah berfokus kepada perkongsian kepakaran bersama dalam mempromosikan pembangunan antara universiti dan industri di peringkat antarabangsa.

“Di samping itu kami turut merangka beberapa program untuk dijayakan bersama seperti program pembangunan sains dan teknologi, perkongsian sumber, data teknikal dan fasiliti serta latihan dan penyelidikan,” ujarnya dalam kenyataan media yang diberikan.

Sewaktu kunjungan di China ini, pihak UTeM turut membuat lawatan industri ke Zhengxin Battery di Shandong yang merupakan projek plumbum mentah seberat 100,000 tan dan pada masa yang sama menjalankan proses peleburan plumbum mentah, pemprosesan, penjualan dan pemulihan komprehensif sumber logam bukan ferus.

Menurut Massila, hasil daripada lawatan ke sini UTeM melihat jauh dalam perspektif perkongsian kepakaran dan kerjasama mendatang antara UTeM dan pihak Zengxin bagi penyelidikan berimpak bateri.

“Penyelidikan bateri antara fokus utama pada masa kini memadangkan ianya terus mendapat permintaan meluas dalam pasaran ekonomi sejagat dan UTeM mampu menzahirkan kepakaran dimiliki dalam merealisasikan projek mendatang,” ujarnya.

Turut bersama bersama dalam kunjungan UTeM ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar dan Pengarah, Pusat Hubungan Strategik Korporat & Global, Prof. Madya Dr. Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.

Lawatan-lawatan ke industri di Yunnan ini adalah berfokuskan kepada objektif SDG17 iaitu Rakan Kerjasama Demi Matlamat, selain daripada memperkasakan lagi jalinan global UTeM dengan industri terkemuka di luar negara.