Skip to main content
19 December 2023

Terus Unggul di Pentas Dunia: Sejarah tercipta apabila pertama kali UTeM dapat penarafan QS World Ranking Sustainability 2024

Prestij dan keunggulan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di pentas global terus menyerlah apabila sejarah tercipta UTeM pertama kalinya tersenarai pula dalam penarafan QS World University Rankings: Sustainability (Kelestarian) 2024.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan penghormatan atas dedikasi berterusan UTeM terhadap amalan lestari yang berkait langsung dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia.

Jelasnya, QS World University Rankings: Sustainability 2024 merupakan satu penarafan yang diiktiraf di seluruh dunia yang mana ia menilai komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi (ESG).

“Penyertaan UTeM dalam senarai berprestij ini sekaligus menaikkan martabat universiti ke peringkat antarabangsa dan menzahirkan komitmen kami yang memberikan kesan dan impak langsung terhadap dunia.

“Pencapaian ini juga turut membuktikan adanya keberhasilan berantai bagi setiap usaha mampan UTeM secara menyeluruh melalui amalan kampus mesra alam dan penglibatan komuniti,” ujarnya dalam kepada pihak media massa dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.

Massila berkata, program-program ini juga bukan sahaja membantu menjadikan kampus lebih hijau malahan ia turut memupuk rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Buat pertama kali telah tersenarai dalam QS World University Rankings: Sustainability ini UTeM kini berada pada kedudukan 1,001-1,050.

Mengulas lanjut Massila berkata, kedudukan ini turut menambah nilai buat UTeM sebagai sebuah institusi kecemerlangan teknikal yang terus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

“Usaha berterusan kami ke arah kelestarian sepenuhnya ini bukanlah berteraskan kepada penarafan semata-mata namun usaha murni adalah demi untuk memastikan legasi ini dapat diwarisi buat generasi seterusnya dan kemaslahatan sejagat,” katanya.