Skip to main content
26 May 2022

UTeM capai keunggulan penarafan tertinggi 3 bintang Energy Management Gold Standard: Jadi rujukan utama di rantau Asia Tenggara

Universiti awam teknikal pertama di Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukir kecemerlangan dengan pencapaian terbaharunya mencapai penarafan tertinggi 3 bintang bagi Energy Management Gold Standard (EMGS).
 
Pengiktirafan ini adalah di bawah ASEAN Centre of Energy (ACE) dan di Malaysia ianya diwakili oleh Malaysia Green Technology and Climate Change Center (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian ini merupakan kejayaan yang sangat berprestij sekaligus meletakkan UTeM sebagai universiti pertama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang mencapai tahap 3 bintang ini.
 
Jelasnya, ianya juga menjadikan UTeM sebagai universiti yang menjadi rujukan utama bagi pengurusan tenaga secara komprehensif di seluruh pelusuk rantau Asia Tenggara.
 
Ujarnya, pengiktirafan berprestij ini adalah kejayaan buat semua warga UTeM yang begitu komited dalam menjayakan agenda pengurusan tenaga di UTeM merangkumi pengurusan tertinggi hinggalah ke peringkat segenap kakitangan dan kumpulan pelajar.
 
“Pencapaian cemerlang UTeM ini sekaligus turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia Tenggara yang sentiasa berusaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
 
“Pada masa yang sama UTeM turut dikenali sebagai institusi pengurusan tenaga cemerlang yang turut menjadi rujukan bagi sektor awam dan swasta yang lain,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.
 
Sementara itu, Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (PKA), Prof Madya Dr Musthafah Mohd Tahir berkata, UTeM tentunya akan mengekalkan momentum dan meneruskan agenda pengurusan tenaga di universiti secara konsisten.
Ujarnya, UTeM turut akan melestarikan agenda pengurusan tenaga ini yang mana kami sedia berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama dengan masyarakat di luar sana agar ianya menjadi budaya bersama.