Sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada pensyarah dan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerlahkan kepakaran mereka dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan membangunkan Sistem Pengasingan Pepejal Domestik Pintar.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus menzahirkan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu dan penyemarakan budaya perkongsian kepakaran dalam aspek penyelidikan dan inovasi.
 
Jelasnya, terbaharu sekumpulan penyelidik UTeM telah berjaya membangunkan sistem atau alat pengasingan sisa pepejal domestik pintar yang dapat mengesan dan mengasingkan beberapa jenis sisa pepejal seperti plastik, kertas, botol, logam dan bahan-bahan lain yang dinamakan sebagai Intelligent Trash Sorting System (i-BIN).
 
Ujarnya, kejayaan penciptaan ini tentunya akan akan menjadi rujukan dan panduan kepada pihak berkaitan kerana ianya memberikan impak kebaikan dan kesenangan untuk komuniti sejagat.
 
Sistem ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim bersama 2 orang penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian dari Fakulti Kejurteraan Elektrik (FKE) iaitu Muhammad As Shakirin Abdul Aziz dan Nur Al Aswad Zulkefli.
 
Mengulas mengenai produk inovasi ini, Dr Anuar berkata, sistem i-BIN ini berfungsi untuk mengasingkan secara terus bahan sisa pepejal kepada tong sampah yang telah ditetapkan bagi bahan tersebut.
 
Katanya, sistem i-BIN menggabungkan semua konsep teknologi penderia terkini yang dibangunkan sendiri yang dapat mengesan jenis setiap sisa pepejal tersebut secara efektif dan tepat.
 
“Sistem ini digabungkan dengan sistem kecerdasan buatan dan Internet of Things (IoT) yang disambungkan kepada sistem Wi-Fi dan sistem pemantauan setelit yang dapat mengesan kedudukan tong sampah tersebut,” katanya lagi.
 
Mengulas lanjut Dr Anuar berkata, semua teknologi itu digabungkan dalam satu alat tambahan yang boleh dipasang pada tong sampah sedia ada bagi memudahkan proses transformasi dan integrasi sistem pintar ini bersama tong sisa pepejal sedia ada.
 
“Sehubungan rangkaian teknologi itu, sistem pesanan melalui aplikasi Telegram bersama platform digital dashboard akan dihantar kepada syarikat pengumpul sisa pepejal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terus.
 
“Ianya bagi pemantauan secara real time berasaskan lokasi dan tahap kapasiti sisa pepejal terkumpul di setiap pusat pengumpulan sisa bagi pengutipan pintar dan terancang berasaskan kecerdasan pintar yang sangat berpotensi dalam menjayakan kelestarian alam sekitar, ekonomi dan daya huni Malaysia,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan kepada pihak media, baru-baru ini

Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: