LIMA 2025: UTeM Kongsi Kepakaran Aeroangkasa Global, Meterai 4 Kerjasama Strategik
Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA 2025) menyaksikan keseriusan dan komitmen tinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran dalam sektor aeroangkasa dan teknologi keselamatan negara dan global dengan pemeteraian 4 dokumen kerjasama strategik.
Majlis pemeteraian 2 Memorandum Persefahaman (MoU) dan 2 Memorandum Perjanjian (MoA) ini telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam satu majlis yang berlangsung penuh berprestij.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, penglibatan aktif UTeM di pentas LIMA 2025 mencerminkan kesungguhan universiti untuk bukan sahaja membina jaringan kolaboratif dengan pemain industri utama, malah turut membentuk hala tuju masa depan negara dalam bidang aeroangkasa dan teknologi keselamatan.
Jelasnya, UTeM bukan lagi sekadar pemerhati malahan kami mengorak langkah bermomentum tinggi di persada antarabangsa sebagai pemain utama, dengan 5 kerjasama strtaegik yang memacu arus pembangunan penyelidikan berimpak tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat teknikal negara.
Katanya, 4 pertukaran dokumen yang dimeterai melibatkan 2 MoA bersama Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dengan 2 skop kerjasama berbeza, satu MoU bersama SICPA Product Security Sdn Bhd dan satu lagi MoU bersama G7 Aerospace Sdn Bhd.
“Kerjasama UTeM bersama AMIC memberi fokus kepada dua projek utama iaitu pembangunan proses pengekstrakan semula gentian karbon melalui kaedah “closed-loop pyrolysis” menerusi projek RECARBON.
“Manakala satu lagi projek adalah tertumpu kepada pembangunan klip dua-lapisan menggunakan bahan komposit Polyphenylene Sulphide untuk aplikasi aeroangkasa, justeru Inisiatif ini dijangka membuka lembaran baharu dalam teknologi hijau dan kitar semula bahan canggih dalam industri,” katanya.
Ujarnya, kerjasama dengan SICPA Product Security Sdn Bhd pula bakal memperkukuh aspek keselamatan digital melalui integrasi teknologi keselamatan terkini ke dalam ekosistem pembelajaran dan latihan pelajar UTeM selari dengan keperluan industri 4.0 dan keselamatan maklumat nasional.
“Dalam pada itu, kerjasama dengan G7 Aerospace Sdn Bhd akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengujian sistem pesawat tanpa pemandu (UAV), termasuk penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan dalam bidang avionik, simulasi pemodelan dan integrasi sistem yang turut membuka peluang latihan amali berasaskan industri kepada pelajar UTeM,” katanya lagi.
Mengulas lanjut katanya, kerjasama strategik ini adalah selari dengan Pelan Strategik UTeM pada ST2 iaitu Mempromosi RICE dan Menjana Pendapatan serta selari dengan salah satu Fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 iaitu Pemindahan dan Perkongsian Ilmu.
Turut hadir menyaksikan majlis ialah Profesor Dr. Zahriladha Zakaria, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), dan Profesor Ts Dr. Effendi Mohamad, Pengarah Pusat Kolaborasi RICE UTeM.
Dr. Zahriladha berkata, LIMA 2025 menjadi pentas penting kepada UTeM dalam mempamerkan keupayaan sebenar universiti teknikal dalam mendepani cabaran global.
“Ini bukan sahaja tentang perjanjian di atas kertas, tetapi tentang menjelmakan impak sebenar kepada pembangunan negara, khususnya dalam merealisasikan hasrat Pelan Induk Industri Aeroangkasa Negara 2030,” tambahnya.
Dengan termeterainya 4 kerjasama strategik ini, UTeM kini meletakkan dirinya bukan lagi sebagai penonton, tetapi sebagai antara pemacu utama masa depan industri berteknologi tinggi negara.