Skip to main content
09 September 2024

UTeM dan JICA-KyuTech Jepun Kongsi Kepakaran Bangunkan Modul Nota Hijau Melaka

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran bersama JICA Kyu Tech, Jepun membangunkan Nota Hijau Melaka sebagai modul pembelajaran pemupukan amalan hijau di kalangan pelajar sekolah rendah di negeri Melaka.

Ketua Projek yang juga Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEI) UTeM, Profesor Madya Dr Musthafah Mohd Tahir berkata, projek ini merupakan projek sulung bagi negeri Melaka untuk memberikan pendedahan di sekolah rendah negeri ini.

Jelasnya, Nota Hijau Melaka ini dibangunkan berpandukan kepada Nota Hijau Kitakyushu Jepun yang telah berjaya dilaksanakan secara meluas dan memberikan manfaat besar di bandar Kitakyushu negara berkenaan. 

Katanya, antara objektif Nota Hijau Melaka ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah rendah bagi memupuk sikap cakna terhadap pemeliharaan alam sekitar dan budaya amalan hijau sejak dari awal persekolahan lagi.

“Ia merangkumi aspek penjagaan alam sekitar, pengurusan 3R, pengurusan air,  pengurusan sisa dan kitar semula yang merupakan elemen utama dalam usaha memupuk budaya  dan sikap mesra alam sekitar.

“Projek ini telah pun berjalan dengan lancar menerusi projek rintis di Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Razak, Melaka yang bermula pada bulan Jun 2022 hingga Julai 2024,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, satu lawatan kerja ke Bandar Kitakyushu, Jepun telah dijayakan baru-baru ini melibatkan 7 orang guru sekolah berkenaan, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, wakil dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan 5 orang pensyarah UTeM yang telah bersama-sama dalam penghasilan dan penerbitan Nota Hijau versi Melaka ini.

"Lawatan ini memberikan pemahaman dan pembelajaran langsung dengan Kitakyushu, tentang amalan terbaik amalan 3R sekaligus menjayakan usaha Melaka menuju negeri hijau menjelang 2030.

 

“Antara lokasi lawatan adalah Pusat Pelupusan Sisa Hijau Hibikinada, Eco-Town Kitakyushu untuk mempelajari amalan terbaik dalam pengurusan sisa dan teknologi hijau. 

“Projek ini mendapat suntikan dana penuh daripada JICA yang dipantau secara khusus pelaksanaannya oleh KyuTech sepanjang projek ini dijalankan,” katanya.

Dengan komitmen ini, Projek Grassroot ini dijangka menjadi contoh terbaik dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di Malaysia dan menyumbang kepada pembentukan generasi yang lebih peka terhadap alam sekitar.