Skip to main content
24 November 2023

UTeM dan China Jalin Kerjasama MoA Kongsi Kepakaran Tawar Program Pengajian Diploma Teknologi Serlah TVET di Rantau Asia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Institusi Pendidikan Tinggi ternama TVET China, Heilongjiang Agricultural Economics Vocational College (HAEVC) telah menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian Akademik (MoA).

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh kedua-dua pihak secara dalam talian yang mana UTeM diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin manakakala HAEVC pula diwakili Secretary of CPC of HAEVC, Profesor Yan Haimin.

Prof Massila berkata, antara intipati kerjasama strategik ini UTeM dan HAEVC bersetuju untuk membangun dan menawarkan secara bersama program Diploma Pengurusan Teknologi dan E Dagang.

Ujarnya, program ini selari dengan agenda pemerkasaan TVET aras tinggi UTeM di Malaysia dan rantau Asia dengan bergerak seiringan dengan HAEVC yang merupakan salah sebuah institusi pendidikan TVET aras tinggi terbaik di China.

“HAEVC juga merupakan institusi terbaik dalam penawaram program E-Dagang di peringkat diploma yang berada pada kedudukan 10 terbaik dalam kalangan Kolej Vokasional di China.

“Kerjasama ini juga meneguhkan hubungan erat antara 2 negara Malaysia dan China di bawah projek Malaysia Luban Workshop yang merupakan projek pendidikan vokasional antarabangsa dalam memupuk profesional mahir di negara membangun dan salah satu elemen di bawah inisiatif The Belt and Road Initiative (BRI) yang mendapat pengiktirafan dan pembiayaan oleh Kementerian Pendidikan Negara China.

“Pada masa yang sama hubungan ini turut memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dengan gergasi industri di China seperti Alibaba (China) Education and Technology Co. Ltd. terutamanya dalam bidang yang berkaitan perdagangan elektronik,” ujarnya dalam kenyataan kepada pihak media.

Mengulas lanjut Massila menyatakan kerjasama ini juga menzahirkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada UTeM kerana memperolehi laluan mudah bagi mendapatkan pelajar-pelajar dari negara China untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di UTeM melalui jaringan strategik sekolah tinggi dan Institusi Pengajian Tinggi di China ini.

“Di samping itu platform ini juga turut membuka ruang dan peluang kepada tenaga pengajar di China untuk meningkatkan tahap pendidikan akademik ke peringkat yang lebih tinggi sebagai pelajar pascasiswazah di UTeM,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Professor Dr Mohd Syaiful Rizal Abdul Hamid dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Profesor Madya Dr. Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.

Pihak HAEVC pula turut dihadiri oleh Profesor Zhang Jizhong, Deputy Secretary of CPC & President HAEVC, Profesor Cong Peixin, Deputy Secretary of CPC, Profesor Jiang Guijuan, Member of CPC & Vice-President HAEVC.

Majlis ini turut disertai oleh rakan industri strategik dari Negara China, Alibaba (China) Education and Technology Co. Ltd., iaitu Mr. Liu Guofeng,Deputy General Manager of Taobao Education, Taobao Tmall Group, Mr. Zhang Lei, Director, international training Dept of Taobao Education, Taobao and Tmall Group.