Skip to main content
30 November 2023

Kepakaran UTeM diperlukan Bersama Dalam Menjayakan Rangkaian Universiti Global Baharu - Liga Universiti Tropika

Kepakaran dan keterlihatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam bidang teknikal dalam kalangan negara beriklim tropika terus menjadi perhatian dan rujukan di pentas dunia.

Sehubungan dengan itu UTeM telah dijemput menjadi sebahagian daripada ahli dalam rangkaian universiti global baharu, Liga Universiti Tropika menerusi Majlis Pelancaran dan Persidangan Kemuncak Sulung Liga Universiti Tropika di Hainan, China, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penglibatan UTeM dalam rangkaian berpaksikan global ini ekoran kepada kepercayaan yang diberikan yang berteraskan pencapaian cemerlang UTeM dalam bidang akademik, teknikal dan penyelidikan unggul secara berterusan di pentas antarabangsa.

Ujarnya, Liga Universiti Tropika ini disertai oleh 40 buah universiti ternama dari benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan yang mana UTeM merupakan satu-satunya universiti dari kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menyertai liga ini.

Katanya, liga ini menyediakan platform kerjasama bagi memudahkan perkongsian sumber, pembangunan bakat, penyelidikan bersama, pemindahan teknologi dan inovasi dalam kalangan ahli menggunakan pendekatan berasaskan komuniti dan kerjasama dengan mengambil kira keutamaan kawasan.

“Melalui penyertaan UTeM pada persidangan sulung ini turut menyerlahkan UTeM dalam menyatakan suara bersama menjayakan perancangan aktiviti jalinan kerjasama mampan bersama ahli-ahli liga yang lain merentas 3 benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

“Pada masa yang sama liga ini juga akan merancakkan aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 Partnerships for the Goals dan SDG4 Quality Education.

“Ini adalah selari dengan idea penubuhan Liga Universiti Tropika ini sejajar dengan pendekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memastikan

transformasi sains ke arah pencapaian SDG untuk tahun 2030,” ujarnya lagi dalam Kenyataan yang diberikan kepada pihak media.

Penyertaan UTeM bagi menjayakan kemuncak dan permulaan agenda berimpak dunia ini adalah menerusi jemputan rasmi kepada Naib Canselor UTeM secara terus dari Universiti Hainan.

Justeru bagi menghadiri dan menjayakan agenda pertama rangkaian universiti global baharu, Liga Universiti Tropika yang telah berlangsung ini UTeM telah diwakili oleh 3 orang tenaga pakar yang terdiri daripada Dekan Fakulti Teknologi & Kejuruteraan Industri & Pembuatan (FTKIP), Profesor Ir. Dr. Hambali Arep@Ariff, Pengarah, Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti & Risiko (PPSKR), Prof Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff dan Timbalan Pengarah, Pusat Hubungan Strategik Korporat & Global (UGlobe), Hazman Hasib.