Skip to main content
18 April 2023

Kasih Ramadan: Lebih 1,200 pelajar UTeM Terima Agihan Makanan Projek Komuniti Moreh Anjuran AUTeM dan McDonald’s

Lebih 1,200 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima pengagihan pek makanan menerusi Projek Komuniti Moreh anjuran Persatuan Alumni UTeM (AUTeM) dan McDonald's Krubong, baru-baru ini.

Projek Komuniti Moreh tersebut telah diadakan di Masjid Sayyidina Abu Bakar, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Pengarah Pusat Pengurusan Alumni & Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), UTeM, Dr Hazli Rafis Abdul Rahim berkata, ini merupakan inisiatif projek kerjasama baik antara AUTeM dan pihak syarikat McDonald’s.

Ujarnya, bersempena dengan semarak kasih Ramadan yang mulia, projek ini dapat meringankan bebanan pelajar di samping memberikan kegembiraan dan kenangan indah berpuasa di universiti.

Pengurus McDonald's Krubong, Kaswadi Husman pula berkata, pihaknya sangat prihatin dan mengambil berat cabaran kehidupan pelajar di universiti lebih-lebih lagi beliau sendiri merupakan alumni UTeM.

"Sungguh saya berbangga kerana melalui pekerjaan saya sekarang di McDonalds, saya dapat menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar UTeM dan sedikit sebanyak turut membawa saya kembali mengimbau kenangan susah senang yang pernah saya lalui sewaktu zaman bergelar mahasiswa di UTeM dahulu” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada AUTeM dan McDonald’s atas inisiatif ini.

Katanya, projek ini juga turut menjadi contoh corak kerjasama dan memberikan teladan yang baik daripada alumni kepada mahasiswa untuk kembali menyumbang apabila bergelar alumni.

Sementara itu, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) yang juga Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Muhammad Nurhakim Abu Zaz, 23, ketika ditemui dalam majlis sama melahirkan rasa sangat gembira dengan kehadiran alumni UTeM dan pasukan McDonald’s Krubong.

"Saya berharap Projek Komuniti Moreh dapat dilaksanakan lagi pada Ramadan akan datang kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar tetapi turut memberi inspirasi kepada kami melalui kehadiran alumni-alumni pelbagai bidang," katanya.

Turut hadir sama mengagihkan edaran moreh ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad dan Presiden Alumni UTeM Ts. Zulfadhli Datuk Idrus.