Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan skop Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di peringkat antarabangsa dengan menjalin kerjasama strategik bersama dengan Institusi Pendidikan TVET China.

Perkara ini dizahirkan menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan secara dalam talian antara UTeM dan Liuzhou Jiaotong School (LJS), China.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara elemen kerjasama antara UTeM dan LZJT adalah tertumpu kepada kemasukan pelajar antarabangsa, kurikulum akademik, pertukaran staf akademik, kolaborasi persidangan UTeM-LZJT dan program latihan amali antara Malaysia dan China.

Jelasnya, UTeM menyediakan laluan kepada pelajar LZJT lulusan Sekolah Vokasional Tinggi untuk penyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi yang ditawarkan di UTeM.

“Lulusan LZJT adalah setara dengan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan perlu melalui beberapa kursus ‘bridging’ yang disediakan di UTeM terutamanya dalam pembelajaran bahasa inggeris.

“MoU ini turut membuka ruang untuk perjalanan program-program lain termasuklah pembangunan kurikulum pembelajaran TVET di samping peluang latihan amali di China dan beberapa sesi perkongsian ilmu dan teknologi antara 2 negara,” ujarnya sewaktu memberi kenyataan berhubung kejayaan MoU ini.

Katanya, kerjasama ini turut membuka ruang untuk meningkatkan kebitaraan pelajar UTeM dalam bidang TVET dengan menggunakan sistem dan teknologi berorientasikan Revolusi Industri (IR) 4.0 serta membudayakan budaya digitalisasi selaras dengan kehendak semasa.

Mengulas lanjut Massila berkata, agenda ini telah mempamerkan kesungguhan dan proaktif UTeM dalam usaha merancakkan permerkasaan TVET aras tinggi bukan hanya dalam negara malahan merentas sempadan dunia.

“Ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan negara yang ingin melihat universiti awam teknikal seperti UTeM memperkasakan agenda TVET dalam segenap akar umbi,” ujarnya lagi.

MoU antara UTeM dan LZJT adalah berkuatkuasa bagi tempoh 5 tahun bermula pada April 2023 hingga April 2028.

Majlis MoU antara UTeM dan LZJT yang diadakan atas talian ini disempurnakan oleh pihak UTeM yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) Prof. Ts Dr Effendi Mohamad.

Bagi pihak LZJT pula diwakili oleh Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia, Esther Low dan Principal LZJT Huang Yan.