Skip to main content
09 January 2023

Kecemerlangan Berganda UTeM Rangkul 2 Emas Juarai 2 Kategori Augerah Hijau Melaka

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengukir kecemerlangan berganda apabila berjaya menjuarai 2 kategori utama dalam Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2022, baru-baru ini.

AHM anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi, institusi, kerajaan dan swasta serta komuniti yang melaksanakan inisiatif teknologi hijau di negeri ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan ini menzahirkan bahawa UTeM terus komited dalam mempraktikkan inisiatif teknologi hijau secara komprehensif dan berterusan.

Jelasnya, pada AHM ini UTeM telah menghantar 2 penyertaan dan menjuarai 2 kategori utama tersebut daripada 4 kategori yang dipertandingkan iaitu Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Inovasi Hijau dan Program Komuniti Hijau.

“Kemenangan UTeM adalah menerusi Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) yang memenangi emas bagi kategori Pembudayaan Hijau manakala satu lagi emas dimenangi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) bagi kategori Inovasi Hijau.

“Kejayaan ini telah meletakkan UTeM di hadapan dalam kalangan 38 penyertaan yang lain dan membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM 5,000 setiap satu kategori selain trofi dan sijil penghargaan,” ujar Massila sewaktu memberikan kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut Massila berkata, sebelum ini UTeM telah berjaya memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan dan Anugerah Tenaga peringkat ASEAN pada tahun 2021.

“Justeru kejayaan terbaharu ini telah meneruskan kecemerlangan UTeM sebagai peneraju utama di Melaka, Malaysia malahan Asia Tenggara dalam bidang Kecekapan Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar,” ulasnya lagi.

Tambah beliau, semoga kejayaan berterusan yang dikecapi UTeM ini menjadi penyuntik semangat dan motivasi berterusan kepada seluruh warga UTeM untuk terus melestarikan amalan hijau di Kampus UTeM sekaligus memberikan impak langsung buat Melaka dan Malaysia.