
UTeM Gerak Sukarelawan Jayakan Misi Bantuan Pasca Banjir di Kelantan
Menyelami kesukaran dan keperitan dialami mangsa banjir, maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menggerakkan sukarelawan bagi menjayakan misi bantuan pasca banjir di Kelantan, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah menggerakkan sukarelawan bagi menjayakan misi ini di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Ujarnya, misi ini telah melibatkan seramai 100 penuntut UTeM yang terdiri daripada Tuah Volunteer Team (TVT) dan 20 orang staf yang sebahagian besarnya dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
“Pasukan UTeM telah mengambil masa selama 2 hari bagi menyempurnakan misi ini yang melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan terlibat.
“Pada masa yang sama, kami turut menghulurkan bantuan berupa makanan food bank dan turut mengambil peluang ini menyampaikan sumbangan kewangan kepada mangsa yang memerlukan, ujar beliau sewaktu bersama dengan pasukan UTeM menjayakan misi bantuan di sana.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, misi bantuan selama 2 hari tersebut dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada mangsa terbabit.
Jelasnya pada hari pertama pasukan UTeM telah berjaya membuat pembersihan di Kampung Serungga Hulu dan Serungga Hilir yang melibatkan 11 buah rumah dan Sekolah Menengah Ugama Arab Al-Falah Pasir Mas.
“Pada hari kedua pula misi bantuan diteruskan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh Rantau Panjang dan enam buah rumah sekitar sekolah,” katanya sewaktu bersama dalam misi tersebut.
Katanya lagi, antara aktiviti lain yang turut dijayakan oleh pihak UTeM adalah sesi ceramah motivasi yang disampaikan olehnya kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh yang mana hampir 90 peratus daripada mereka terkesan dengan banjir pada kali ini.
Mengulas lanjut beliau menyatakan bahawa semangat kesukarelawanan hebat telah berjaya dipamerkan dalam kalangan mahasiswa dan juga staf UTeM dalam misi bantuan kali ini.
Turut menjayakan misi bantuan ini adalah Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Akmal Manap dan Pengarah Pusat Islam UTeM, Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman.