Skip to main content
12 October 2022

UTeM Terima 2,043 Pelajar Baharu Program Sarjana Muda

MELAKA - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kemasukan seramai 2,043 orang pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi 2022/2023.

Proses pendaftaran pelajar secara sistem bersepadu yang efisien dan efektif tersebut telah dijalankan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, jumlah kemasukan pelajar ke UTeM pada tahun ini terus menunjukkan sambutan yang sangat baik.

Jelasnya, ianya menzahirkan bahawa UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

Beliau berkata, seramai 619 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektik dan Elektronik (FTKEE) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

“Sementara itu seramai 660 pelajar lagi mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan di empat fakulti kejuruteraan iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejurteraan Pembuatan (FKP).

“Mereka yang telah mendaftar bagi mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 385 orang.

“Selebihnya yang telah mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan (FPTT) pula seramai 379 orang,” ujarnya sewaktu memberikan kenyataan kepada pihak media.

Menurut beliau, penzahiran prestij kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi dalam dan luar negara menjadikan UTeM antara insititut pengajian tinggi yang menjadi pilihan utama pelajar.

Katanya lagi, kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi serta global yang menjadi buruan majikan juga turut telah melonjakkan UTeM sebagai destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai.

Mengulas mengenai Minggu Haluan Siswa (MHS) pula beliau berkata, MHS diadakan bermula Rabu hingga Ahad lepas bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti berkenaan pada awal Ogos lalu.