Skip to main content
03 October 2022

UTeM Menang Tempat Ketiga Festival Tari Malaysia

Pasukan tarian yang diwakili 10 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya memenangi tempat ketiga Festival Tari Malaysia Peringkat Negeri Melaka, baru-baru ini.

Festival Tari Malaysia ini merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka dan turut terbuka kepada zon selatan.

Kemenangan kumpulan tarian yang dikenali sebagai Dur Adikarya dari Kelab Kasawari UTeM ini membawa pulang piala, sijil penyertaan serta wang tunai sebanyak RM 1,000.00.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, kejayaan ini menzahirkan pelajar UTeM turut mampu menyerlah dalam bidang tarian.

Jelasnya, pelajar UTeM bukan hanya berfokus kepada akademik semata-mata malahan turut berkompetensi tinggi secara holistik termasuklah dalam perspektif kesenian dan tarian.

Kumpulan di bawah bimbingan dan naungan jurulatih tarian yang juga Pegawai Kebudayaan UTeM, Rosmiza Mohd Saad ini disertai oleh 5 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar wanita.

Ahli kumpulan tarian, Gloria Fattimia Amadea berkata, kejayaan ini merupakan hadiah buat kami kerana dapat membuktikan bahawa pelajar aliran teknikal turut mempunyai bakat semulajadi dan potensi untuk menyerlah dalam bidang tarian dan kesenian.

“Potensi yang ada perlulah digilap dan melalui proses latihan dari semasa ke semasa secara komprehensif di samping disiplin tinggi maka kita mampu untuk mencapai kejayaan,” ujar pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dengan Kepujian.

Seorang lagi pelajar, jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik) dengan kepujian, Muhammad Daniel Hazim Amizan

berkata, tarian merupakan kesenian yang unik dan tersendiri kerana dapat membina keyakinan dan keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat persembahan.

“Di samping itu, seni dan tarian adalah warisan berzaman legasi orang-orang terdahulu yang mana perlu dihayati dan dipelihara oleh generasi pada masa kini,” ujarnya lagi.