Skip to main content
27 September 2022

UTeM dan UMK Teguh Hubungan Strategik Serlahkan Kemampanan Teknikal dan Keusahawanan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan rangkaian universiti awam dalam negara menerusi kunjungan hormat Naib Canselor UTeM.

Selari itu, UTeM telah menjayakan lawatan pengukuhan kerjasama strategik ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Kunjungan Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin bersama delegasi UTeM disambut Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi , Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Dr. Massila berkata, antara objektif lawatan ini adalah untuk bersama mengkaji dan menzahirkan potensi memantapkan lagi keunggulan akademik dan penyelidikan kedua-dua institusi pengajian tinggi tempatan ini agar terus menyerlah di persada global.

Jelasnya, sehubungan itu, UTeM dan UMK bersetuju untuk melebarkan kerjasama menerusi perancangan projek usahasama dengan mengoptimumkan kepakaran dalam bidang fokus masing-masing.

Katanya, Usahasama dalam penyelidikan ini turut akan melibatkan pengusulan pembiayaan geran sepadan bagi memartabatkan penyelidikan berpestasi tinggi antara kedua-dua universiti.

Jelasnya lagi, gandingan unik antara universiti teknikal dan universiti keusahawanan tersohor ini dijangka akan mengangkat nilai tekno-keusahawanan berdaya maju dalam memperhebatkan lagi aktiviti pengkomersilan teknologi dan inovasi tinggi.

Mengulas lanjut, Dr. Massila turut menambah, selari dengan kolaborasi itu, perancangan berkaitan latihan kemahiran insani dalam aspek keusahawanan akan turut dibangunkan menerusi gandingan kepakaran UTeM dan UMK.

Antara yang turut dikongsikan hasil pertemuan kedua-dua Naib Canselor itu adalah saranan kerjasama dalam projek istimewa batik antara UTeM dan UMK dan menjadi inisiatif menarik meliputi nilai komersil dan teknologi pembuatan termaju.

Melalui kunjungan hormat itu juga UTeM turut merencana kolaborasi bersama UMK dalam projek Emirates susulan lawatan kerja Dr. Massila ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Ianya bertujuan memperluaskan peluang untuk pelajar antarabangsa dari UAE dan Asia Barat menyambung pengajian pasca siswazah serta menjalani latihan industri di Malaysia sekaligus memperkasakan program pengajian tinggi negara yang bertaraf global.

Turut bersama dalam lawatan berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar