Skip to main content
27 September 2022

Tekad Beri Saingan Hebat UTeM Buru 28 Pingat di SUKUM 2022

Kontinjen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tekadkan keazaman memberikan saingan hebat dengan menyasarkan 28 pingat iaitu 5 emas, 7 perak dan 16 gangsa di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2022.

SUKUM 2022 berlangsung pada 17 hingga 24 September 2022 bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

SUKUM 2022 yang menjadi landasan bagi staf institusi pengajian tinggi untuk bertanding di peringkat lebih berpestij dan kompetitif ini merupakan edisi kali ke-44 selepas penganjurannya tertangguh selama 2 tahun akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof. Mayda Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif selaku Ketua Kontinjen berkata, kekuatan kontinjen UTeM pada temasya kali ini adalah seramai 206 orang yang terdiri daripada atlet, pengurus pasukan dan jurulatih.

Ujarnya, kontinjen UTeM menyertai 16 acara sukan seperti berbasikal, dart lelaki, bolasepak, bola tampar, badminton, bola jaring, catur, futsal, golf, hoki, petanque, sepak takraw, ping pong, tenpin boling dan footgolf.

“Sasaran pingat emas adalah melalui acara berbasikal, dart lelaki, bolasepak dan olahraga selain menjangkakan sebanyak 23 pingat yang akan dipungut dari pelbagai acara lain sepanjang kejohanan.”

“Dengan komitmen atlet yang tak berbelah bahagi, UTeM menyasarkan tempat keenam pasukan terbaik daripada 21 universiti yang bertanding,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bendera Kontijen UTeM ke SUKUM 2022 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Istimewanya kali ini Dr. Massila turut bersama-sama kontinjen UTeM dalam acara badminton beregu dan dijangka memberikan saingan sengit kepada pencabarnya.

Dr. Sabri berkata lagi, kontinjen UTeM yakin untuk mencapai sasaran yang diletakkan di samping menyahut seruan Naib Canselor untuk terus menampilkan semangat kesukanan yang tinggi seterusnya menjaga keharmonian dan nama baik UTeM di persada sukan universiti Malaysia