06 September 2022

Terus Menyerlah NC UTeM Terima Anugerah Buku Negara

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin menerima Anugerah Buku Negara 2022 menerusi karya beliau berjudul ‘Inaugural Lecture Series: Improving Technical Product Quality Through Requirements Engineering’.

Buku terbitan Penerbit UTeM itu dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Perdana (Syarahan Perdana) pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, judul terbitan Penerbit UTeM iaitu ‘Pemerkasaan Aktiviti Pengkomersialan Produk Penyelidikan di Universiti’ karya Prof. Madya Dr. Norain Ismail, Dr. Zawiah Mat dan Prof. Madya Dr. Sazelin Arif turut diangkat sebagai penerima anugerah bagi kategori Pengajian Tinggi (Buku Perniagaan dan Ekonomi Terbaik).

Penglibatan dan komitmen Penerbit UTeM dalam menerbitkan karya-karya ilmiah semenjak tahun 2004 juga mencipta kejayaan yang tersendiri apabila turut menerima anugerah bagi kategori Penerbit Universiti Berpotensi.

Menurut Naib Canselor UTeM, beliau mengakui bahawa berdepan dengan detik sukar ketika menghasilkan karya tersebut dan menuntut kepada kesungguhan, ketekunan dan kesabaran yang tinggi.

“Nikmat bagi seorang penulis, diperoleh apabila buku yang dihasilkan dijadikan bahan bacaan, dijadikan bahan rujukan, berupaya menjadi sumber ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Pengarah Penerbit UTeM, Ts. Dr. Ruziah Ali berkata, penerimaan tiga Anugerah Buku Negara itu diharap menjadi suntikan semangat kepada barisan penulis dan warga penerbit untuk terus berusaha menghasilkan naskhah berkualiti pada masa akan datang.

Menurutnya, Penerbit UTeM komited dalam menguruskan manuskrip terbaik demi menyemarakkan penerbitan ilmiah dan mengangkat kesarjanaan barisan penyelidik UTeM menerusi perbukuan sama ada di peringkat dalam mahupun luar negara.

Anugerah Buku Negara 2022 yang diadakan bersempena Ekspo Buku Malaysia itu diadakan selama empat hari bermula 22 Ogos turut menganjur pelbagai aktiviti antaranya jualan dan pameran buku, persidangan buku antarabangsa dan pelancaran buku.

Antara kenamaan yang turut hadir sepanjang program berkenaan adalah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari dan pengarah filem tersohor tanah air, Syamsul Yusof dan Rashid Sibir


Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: