Skip to main content
05 August 2022

UTeM Rangka Kerjasama Strategik Bersama Organisasi Berimpak Emiriah Arab Bersatu

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus bertindak pro aktif menjayakan misi memperkukuh jaringan strategik dan kolaborasi antarabangsa bersama 2 organisasi terpilih di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Rangka kerjasama strategik ini tertumpu kepada 2 agenda utama iaitu pemerkasaan program pasca siswazah antarabangsa dan kemajuan penyelidikan dan teknologi tinggi dunia.

UTeM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengarah UNI Student, Dr. Salleh Altahboush bagi perbincangan kerjasama berkaitan program pasca siswazah antarabangsa.

Dr. Massila berkata, lawatan kerja itu akan dapat membina hubungan erat bersama UAE dalam agenda pertukaran pelajar, promosi akademik, dan program lain yang berpotensi.

Jelasnya, hubungan 2 hala antara Malaysia dan UAE akan terus berkembang dalam pelbagai bidang yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Dalam masa sama, satu lagi delegasi UTeM yang diwakili Pengarah Pusat Antarabangsa, Dr. Siti Hajar Sheikh Md. Fadzullah dan Ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat telah mengadakan perbincangan kerja dan akademik bersama Pengarah Eksekutif Advanced Materials Research Centre (AMRC) of Technology Innovation Institute, Professor Zhongwei Guan.

Menurut Dr. Siti Hajar, menerusi perbincangan tersebut jaringan antarabangsa UTeM dapat diperkukuhkan dengan perancangan kolaborasi penyelidikan dalam bidang tujahan melalui geran antarabangsa dan mobiliti staf antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Dr. Massila dalam mengulas lebih lanjut mengenai keberhasilan keseluruhan lawatan kerja tersebut menyatakan, selain keutamaan akademik ia akan turut menjadi penanda aras baharu kepada kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dalam memastikan kemajuan dalam bidang penyelidikan dan teknologi.

UNI Student merupakan agensi perundingan pendidikan profesional dan terkemuka dunia dalam pengurusan pelajar antarabangsa yang berkualiti ke institusi pendidikan di serata dunia.

Advanced Materials Research Centre of Technology Innovation Institute pula merupakan sebuah institut penyelidikan yang tergolong dalam Majlis Penyelidikan Teknologi Termaju Kerajaan Abu Dhabi (ATRC), yang menyelia penyelidikan teknologi di UAE di samping menarik inovator dan perintis terkemuka di peringkat serantau dan global.