28 July 2022

Kesidang Mas Formula Khas Medan Komunikasi Efektif Tunggak Kepimpinan dan Warga Kerja UTeM

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempunyai formula tersendiri mewujudkan medan komunikasi 2 hala efektif antara Naib Canselor dan keseluruhan lapisan warga kerja universiti ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Kesidang Mas adalah platform buat saya yang diamanahkan selaku tunggak kepimpinan UTeM berkomunikasi secara dari hati ke hati bersama kesemua lapisan dan kumpulan warga kerja UTeM.

Jelasnya, Kesidang Mas yang telah pun berlangsung ini telah berjaya menjadi medium untuk saya menyampaikan hasrat kepimimpinan selaku Naib Canselor baharu UTeM dan pada masa yang sama saya mendengar sendiri luahan dan permasalahan yang dihadapi oleh setiap warga kerja UTeM secara terbuka.

Ujarnya, saya yakin bahawa formula khas ini telah berjaya dilaksanakan sebelum ini sewaktu dalam tempoh seratus hari pertama saya berkhidmat sebagai Naib Canselor yang mana ianya dibahagikan kepada 5 kategori yakni 5 kali perjumpaan.

“UTeM adalah organisasi yang unik kerana ianya merupakan gabungan tenaga kerja daripada kalangan kumpulan akademik yang terdiri daripada guru bahasa, pensyarah hinggalah profesor.

“Manakala kumpulan pentadbiran pula adalah terdiri daripada pelbagai skim dan ianya terbahagi pula kepada kumpulan sokongan dan kumpulan Pengurusan dan Profesional.

“Dengan jumlah sumber manusia seramai lebih dua ribu orang maka sudah tentulah kita perlu mempunyai medan komunikasi strategik dan efisien agar objektif organsisasi kesampaian di samping kebajikan mereka terpelihara,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.

Kesidang Mas dilaksanakan menerusi 5 sesi perjumpaan yang dibahagikan kepada kumpulan Guru Bahasa dan Pensyarah gred DS45, Kumpulan sokongan, kumpulan

Pengurusan dan Profesional (pentadbir), kumpulan Pensyarah Kanan DS52 dan Profesor Madya serta kumpulan Profesor.

Dr Massila berkata, hasil daripada pelaksanaan Kesidang Mas ini maka pelbagai dapatan hebat telah saya perolehi hasil daripada perkongsian input dan luahan daripada setiap kumpulan kerja berkenaan.

Katanya, impak program ini amat besar kerana dari sini saya boleh merangka dan menguruskan UTeM dengan lebih baik lagi kerana saya tidak keseorangan tetapi bersama seluruh warga UTeM menjajar universiti melonjak ke hadapan.

Mengulas mengenai nama Kesidang Mas, Massila berkata ianya adalah berkaitan dengan Bunga Kesidang yang merupakan bunga rasmi negeri Melaka dan UTeM manakala Mas pula merujuk kepada emas dan orang memanggil seringkali menyebut mas di samping Mas juga adalah merupakan singkatan kepada nama Massila.

Ujarnya lagi, apabila warga UTeM menghadiri program ini tentunya sesama staf akan bertanya, hendak ke mana? lalu mereka akan menjawab ke Sidang Mas maka itulah sinoninmya dinamakan sebagai Kesidang Mas.


Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: