Skip to main content
20 July 2022

Serlahkan Peranan di Pentas Dunia: UTeM Jayakan Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlahkan peranan dan cakna kepada pihak memerlukan bukan hanya di peringkat nasional malahan melebar merentasi sempadan antarabangsa.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin telah menyempurnakan pelepasan program Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja 2022 di Bangunan Canselori UTeM, baru-baru ini.

Dr Massila berkata, program ini merupakan anjuran Pusat Islam dan Kelab Usrati Pusat Islam UTeM dengan kerjasama Combodia-Arabic Student Alumni Association dan Persatuan Alumni Universiti Texas yang bermula pada 10 hingga 15 Julai 2022 lalu.

Katanya, antara objektif program ini adalah meluaskan peranan UTeM di peringkat antarabangsa dengan kerjasama agensi-agensi yang prihatin dalam membantu golongan fakir miskin dan kurang bernasib baik dari kalangan komuniti minoriti Islam.

Ujarnya lagi, setiap tahun program ini mendapat sambutan yang amat baik dari kalangan warga UTeM dan menzahirkan keberadaan UTeM di peringkat antarabangsa dari aspek kebajikan, tanggungjawab sosial universiti dan kesukarelawan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr Mahadi Abu Hassan menambah, katanya, program Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja ini juga telah masuk tahun yang ke-9 penganjurannya.

Ulasnya, tahun ini dalam misi pasca pandemik, seramai 7 petugas dari UTeM yang diketuai oleh Muhammad Asyraf turut serta bagi membantu saudara se-Islam di Kemboja untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dalam keadaan yang gembira dan sama-sama melakukan ibadah korban.

“Program ini mendapat sokongan padu dari kalangan warga staf UTeM, Bank Islam dan masyarakat sekitar dengan penyertaan korban sebanyak 20 ekor lembu, 2 ekor kambing, 84 buah wakaf perigi, bantuan pakaian serta program berkhatan oleh doktor perubatan UTeM.

“Ianya turut termasuk aktiviti dakwah, program menyantuni asnaf dan sumbangan kepada pembangunan masjid dan sekolah melalui Tabung Amal Jariah UTeM, ujarnya dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya sempena Aidiladha yang lalu Pusat Islam juga turut mengadakan Solat Hari Raya Aidiladha warga universiti dan masyarakat sekitar manakala Program Ibadah Korban Perdana telah dianjurkan pada 12 Julai yang lalu dengan jumlah 9 ekor lembu dan 5 ekor kambing bertempat di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM.