Skip to main content
20 June 2022

Tun Canselor jayakan aktiviti gotong-royong bersama TUAH Volunteer Team UTeM

Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali sebagai TUAH Volunteer Team (TVT) telah menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan World Youth Foundation Ayer Keroh, semalam.

Menariknya aktiviti gotong-royong ini diserikan dengan kehadiran bersama Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka juga Canselor UTeM.

Tun Seri Setia Mohd Ali telah meluangkan masa bersama-sama sukarelawan pelajar TVT UTeM dan sukarelawan Belia Negeri Melaka daripada Kelab dan Persatuan menerusi Majlis Gabungan Belia Melaka

Kehadiran Tun Seri Setia dalam program tersebut turut telah menyuntik inspirasi dan semangat kepada lebih 30 sukarelawan yang terlibat dalam aktiviti tersebut yang turut dijayakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

Mengulas berkenaan aktiviti tersebut Dr Sabri berkata, semangat kesukarelawanan dan menyumbang kepada kebajikan komuniti dan sekitar sentiasa dititikberatkan dan disemai dalam diri setiap pelajar UTeM.

Jelasnya lagi, aktiviti seumpama ini secara langsung berupaya merealisasikan atribut TUAH UTeM iaitu tangkas, ungggul, adaptif dan holistik menerusi pendekatan 8 dimensi TUAH UTeM.

“Kita berharap agar mahasiswa yang dihasilkan UTeM bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, kokurikulum dan sukan semata-mata malah memiliki nilai-nilai murni yang holistik termasuklah nilai kesukarelawanan yang tinggi, ujarnya dalam kenyataan yang diberikan kepada pihak media.

Sejurus selepas aktiviti gotong-royong tersebut, Tun Seri Setia Mohd Ali bersama-sama Dr. Sabri serta beberapa pegawai lain turut meninjau persekitaran kawasan Taman Seribu Bunga untuk aktiviti gotong-royong akan datang.

Pada masa yang sama Tun Seri Setia Mohd Ali berhasrat agar budaya kesukarelawanan terus disuburkan terutama dalam kalangan generasi muda belia dan mahasiswa.