19 June 2022

UTeM tawar khidmat nasihat pengisian UPU online dan sambung pengajian kepada lepasan SPM, STPM, Diploma dan setaraf

Pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif menawarkan khidmat nasihat bagi pengisian UPU online kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma dan setaraf bagi melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
 
Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi berkata, para pelajar dan lepasan SPM, STPM, Diploma dan setaraf berpeluang berjumpa dengan pihak UTeM dan berkomunikasi secara langsung bagi mendapatkan panduan dan kaedah pengisian UPU online.
 
Jelasnya, ini akan memudahkan mereka membuat pemilihan kursus atau program pengajian yang sesuai untuk mereka sambung di peringkat yang lebih tinggi samada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.
 
Ujarnya, program ini juga turut akan memberikan kefahaman kepada para pelajar mengenai peranan UTeM dalam memperkasakan pengajian teknikal dan TVET dalam agenda Pendidikan Tinggi Negara.
 
“Ianya juga akan mewujudkan jalinan hubungan yang lebih erat antara pihak UTeM dengan para pelajar secara langsung sekaligus mereka dapat menikmati kelebihan dan impak langsung UTeM di sini,” ujarnya lagi dalam kenyataannya pada hari ini.
 
Program ini akan diadakan di Mydin Pulau Sebang dan Mydin Jasin pada 17 hingga 19 Jun 2022 manakala di Mydin MITC, Ayer Keroh pada 24 hingga 26 Jun 2022, justeru para pelajar dan ibu bapa bolehlah datang beramai-ramai mendapatkan khidmat nasihat bagi melanjutkan pengajian.

  • You Here > Home
  • Press Releases
  • UTeM tawar khidmat nasihat pengisian UPU online dan sambung pengajian kepada lepasan SPM, STPM, Diploma dan setaraf

Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: