Skip to main content
26 May 2022

Khidmat komuniti Ramadan: Sekumpulan Pelajar UTeM bantu pasang capaian internet Sekolah Luar Bandar

Sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalankan projek khidmat komuniti dengan melaksanakan kerja pemasangan penghala wayarles beserta antena luaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau Melaka, baru-baru ini.
 
Berteraskan sifat cakna dan prihatin apatah pula di bulan Ramadan ini mereka mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang ada bagi tujuan memastikan anak-anak bangsa di desa turut dapat nikmati capaian internet bagi tujuan pembelajaran.
 
Projek khidmat komuniti ini diketuai oleh Profesor Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dan dibantu 7 orang pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM.
 
Dr Imran berkata, misi utama projek ini adalah memastikan sekolah ini mendapat capaian internet yang baik bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berorientasikan akses internet dapat dilaksanakan.
 
Jelas beliau, penggunaan penghala wayarles ini merupakan pilihan yang terbaik kerana ianya lebih menjimatkan perbelanjaan kepada pihak sekolah memandangkan mereka boleh menggunakan kad sim mana-mana syarikat telekomunikasi beserta pakej data yang dirasakan sesuai dengan keperluan pembelajaran.
 
Ujar beliau, peralatan ini juga mudah dialihkan ke tempat lain sekiranya pihak sekolah merasakan ada keperluan untuk memindahkan lokasi kelas berdasarkan kesesuaian dan penggunaan dari semasa ke semasa.
 
“Projek ini juga menjadi serampang 2 mata kerana mereka bukan sahaja mencurahkan khidmat komuniti malahan ianya turut menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) wayarles yang semakin tinggi keperluannya pada masa kini,” ujarnya lagi.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, program ini tidak terhenti setakat ini sahaja kerana program susulan bersama pihak sekolah sedang dirancang seperti peluang kerjaya
dalam bidang kejuruteraan termaju serta program inovasi teknologi bagi memupuk minat pelajar-pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
 
Turut bersama sewaktu program ini dilaksanakan oleh pihak UTeM adalah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Dang Anum, Norhafiz Haron dan menurutnya terdapat 2 kawasan strategik yang terpilih untuk pemasangan penghala wayarles ini.
 
Katanya, kawasan itu adalah kelas pembelajaran pelajar kelainan upaya dan kelas mentelaah pelajar-pelajar di asrama yang mana pihak sekolah menilainya sebagai keperluan yang mendesak.
 
Sehubungan itu beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan pihak UTeM yang telah berjaya menyempurnakan kerja-kerja pemasangan dari mula hingga selesai.