Skip to main content
15 September 2022

UTeM dan AMIC Jalin Kerjasama Terokai Teknologi Aeroangkasa Dunia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalin kerjasama strategik dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) bagi bersama kongsi kepakaran dalam penerokaan teknologi aeroangkasa dunia.

Selari itu satu majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan AMIC telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena bersempena Malaysia Aerospace Summit 2022 (MyAERO’22), baru-baru ini.

Pada majlis tersebut UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar manakala AMIC diwakili oleh pengerusinya Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajudin Ali dan disaksikan oleh Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr. Ghazali berkata, melalui pemeteraian MoU tersebut, UTeM menerusi Pusat Pembuatan Termaju (AMC) merangka kerjasama strategik dengan AMIC membabitkan penubuhan makmal perindustrian bagi menjalankan aktiviti pembangunan komposit aeroangkasa.

Jelasnya, usaha sama tersebut bakal menyaksikan wujudnya sebuah makmal industri-akademik yang pertama di Malaysia dalam pengkhususan bidang aeroangkasa termasuklah perkongsian kepakaran serta pemindahan ilmu dan teknologi antara kedua-dua pihak.

“MoU itu juga akan membuka peluang kepada UTeM untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama teknologi pembuatan termaju seterusnya menjadi hab penyelidikan dalam bidang aeroangkasa di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr. Ir. Ahmad Tajudin pula berkata, beliau yakin kerjasama antara UTeM dan AMIC mempunyai potensi berimpak tinggi yang mana kedua-dua institusi sentiasa memberi penekanan yang kuat terhadap nilai inovasi berkait teknologi dan pendidikan.

“Untuk itu AMIC sentiasa berkerjasama rapat dengan universiti selari dengan usaha kerajaan dalam menggiatkan pertumbuhan industri aeroangkasa menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” ujarnya lagi ketika mengulas mengenai hubungan strategik ini.

Persidangan MyAERO’22 menghimpunkan pemain utama dalam industri aeroangkasa tempatan dan luar negara dengan objektif mengangkat potensi Malaysia sebagai pusat serantau dan bersepadu sekaligus menzahirkan peranan penting dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.