Skip to main content
27 September 2022

Terserlah Kepakaran Kejuruteraan UTeM Terima Geran Penyelidikan RM3.9 Juta

Kepakaran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam bidang kejuruteraan kian terserlah apabila menerima geran penyelidikan berjumlah RM3.9 juta bagi 37 projek penyelidikan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, hal ini menzahirkan kepercayaan oleh KPT terhadap UTeM menerokai dan menyemarakkan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang kepakaran yang dimiliki UTeM.

Ujarnya, ianya meliputi 3 jenis geran utama iaitu Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP), Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS), dan Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).

Jelasnya, geran penyelidikan terbesar diperoleh menerusi geran KKP berjumlah RM500,000 melalui projek konsortium penyelidikan Green Tribo-Vehicle Consortium (GTVC) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fadzli Abdollah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan projek ini turut melibatkan kerjasama penyelidik dari Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Skop penyelidikan tersebut adalah membangunkan konsortium penyelidikan berfokuskan tribologi untuk mengurangkan pembebasan karbon dari kenderaan melalui teknologi pengurangan geseran yang menggunakan sumber boleh diperbaharui dan lestari.

“UTeM berbangga dengan geran KKP yang diterima sekaligus mengiktiraf dan mengangkat kepakaran universiti ini dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan teknologi hijau,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan kepada pihak media.

Katanya, UTeM turut menerima geran PRGS bernilai RM120,650 bagi projek penyelidikan pembangunan prototaip Upscaling and Testing a Vacuum System Integrated Open Source Fused Deposition Modeling System for Improved Printed Parts yang diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Shajahan Maidin dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP).

Tambah beliau, projek ini selain berfokus dalam membangunkan kaedah menghasilkan permukaan dan sifat-sifat mekanikal yang baik bagi sumber terbuka Fused Deposition Modeling (FDM) dalam rapid prototyping, ia akan turut membantu merapatkan jurang antara penemuan penyelidikan dan pengkomersialan bagi tujuan penciptaan teknologi baharu.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar dalam kenyataan sama berkata, sebanyak 35 projek penyelidikan pula telah menerima dana geran FRGS yang keseluruhannya bernilai RM3.3 juta.

Menurut beliau, nilai tertinggi bagi projek FRGS yang diperolehi ialah RM193,000 menerusi penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya. Ts. Dr. Lau Kok Tee dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

“Tambah mengagumkan, 17 daripada penerima geran FRGS tahun ini merupakan penerima kali pertama hasil ketekunan dan inisiatif UTeM melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (CRIM).

“Ianya ekoran banyak menganjurkan pelbagai bengkel komprehensif dan penilaian dalaman yang konstruktif khusus bagi membantu penyelidik UTeM untuk menghasilkan proposal yang berkualiti dan berjaya dalam permohonan geran bawah dana KPT,” ulasnya lanjut