Skip to main content
10 November 2026

UTeM, Uzbekistan perkukuh kerjasama strategik pembangunan kepimpinan AI

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan Republik Uzbekistan dalam bidang pembangunan kepimpinan, pentadbiran awam dan kecerdasan buatan (AI) melalui penganjuran AI-LEAD International Executive Programme: Effective Leadership & Communication with AI, baru-baru ini.

Program berlangsung selama tujuh hari bertempat di 2 lokasi berbeza iaitu di UTeM dan salah sebuah hotel di bandaraya Melaka telah menghimpunkan pemimpin strategik, pegawai kanan serta wakil institusi kerajaan Uzbekistan bagi meningkatkan keupayaan kepimpinan dan komunikasi dalam mendepani transformasi teknologi serta cabaran organisasi global.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata program berkenaan bukan sekadar platform perkongsian ilmu, sebaliknya menjadi landasan penting memperluas diplomasi akademik dan membina jaringan kerjasama antarabangsa yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dengan The Academy of Public Policy and Administration under the President of the Republic of Uzbekistan (APPA) menjadi pencapaian utama program berkenaan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada kerjasama pembangunan eksekutif, pertukaran kepakaran dan penyelidikan bersama.

Menurutnya, perkembangan pesat AI menuntut pemimpin masa kini bukan sahaja menguasai teknologi, malah mempunyai keupayaan berfikir secara strategik, berkomunikasi dengan berkesan dan membuat keputusan berasaskan data serta pertimbangan manusiawi.

Sepanjang program, peserta mengikuti sesi intensif berkaitan kepimpinan dan komunikasi berkesan berteraskan teknologi AI melalui perkongsian pakar akademik dan industri, simulasi serta pembelajaran berasaskan pengalaman. Program turut merangkumi lawatan penandaarasan industri ke Gading Kencana, Melaka serta edupelancongan bagi meneroka warisan sejarah dan budaya negeri Melaka.

Pada masa yang sama delegasi Uzbekistan turut diberi penghormatan menghadiri Majlis Makan Malam Konvokesyen Ke-22 UTeM dan menyaksikan kemeriahan majlis konvokesyen universiti berkenaan, sekali gus memperkenalkan tradisi akademik, budaya serta pencapaian institusi pendidikan tinggi negara kepada delegasi antarabangsa.

Penganjuran program menerusi Pusat Kepimpinan Kecerdasan Buatan UTeM (AI-LEAD UTeM) itu membuktikan komitmen universiti memperluas pengantarabangsaan melalui diplomasi ilmu dan pembangunan kapasiti kepimpinan global, sekali gus mengukuhkan peranan UTeM sebagai peneraju pembangunan kepimpinan berteraskan AI di peringkat antarabangsa.