Skip to main content
10 August 2023

UTeM Serlahkan TVET Aras Tinggi Nasional ke Peringkat Antarabangsa di Republik Rakyat China

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus proaktif dalam usaha menyerlahkan pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara ke peringkat antarabangsa di Republik Rakyat China.

Usaha terbaharu UTeM yang merupakan satu-satunya wakil institusi TVET dari Malaysia adalah menerusi penyertaan Forum Presiden Universiti Dunia (WUPF) yang berlangsung di Beijing, China, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin yang menghadiri forum tersebut berkata, ruang berkenaan menjadi medan buat UTeM menyerlahkan lagi TVET nasional di peringkat antarabangsa secara umumnya dan spesifiknya di negara China.

Jelasnya, ini merupakan peluang yang telah diambil UTeM menzahirkan kesungguhan dan komitmen kami dalam memperluaskan lagi usaha pemerkasaan TVET aras tinggi di persada dunia.

Katanya, pada masa yang sama beliau turut mengikuti sesi jemputan khas interaksi bersama Menteri Pendidikan, Republik Rakyat China, Huai Jinpeng, dalam satu majlis tertutup di Beijing.

“Menerusi ruangan tersebut UTeM berpeluang memperkenalkan program pendidikan TVET yang ditawarkan UTeM dan membuka peluang kepada pelajar Republik Rakyat China menyambung pengajian TVET aras tinggi di sini, ujarnya.

Kemudiannya, Dr Massila turut memenuhi undangan istimewa rakaman sesi temubual khas bersama Media China, CCTV dalam slot temubual

sebagai perintis pendidikan teknikal di Malaysia yang akan disiarkan menerusi saluran China TV.

Semasa sesi rakaman tersebut, Massila diminta untuk memperkenalkan UTeM dalam konteks TVET, pencapaian semasa serta hubungan kerjasama strategik yang telah terjalin dengan universiti-universiti China.

Pada masa yang sama beliau turut diminta pendapat mengulas tentang inisiatif Menteri Pengajian Tinggi China untuk pembangunan pendidikan tinggi berkaitan TVET di sana.

Mengulas lanjut Massila berkata, dalam tempoh forum berkenaan beliau turut berbincang bersama dengan Presiden Universiti Krirk, Thailand, Prof. Dr. Krasae Chanawong yang juga merupakan mantan Menteri Hal Ehwal Universiti (Pendidikan Tinggi) dan Penasihat Perdana Menteri.

Dalam ruangan berkenaan, mereka turut membincangkan tentang ruang dan peluang buat UTeM dalam menembusi pasaran TVET aras tinggi di Thailand juga.

Ianya merujuk dalam konteks hubungan jalinan kolaborasi yang akan dijayakan UTeM bersama dengan institusi pengajian tinggi dan Institusi Vokasional Thailand lalu membuka gerbang bagi pelajar di sana menyambung pengajian TVET UTeM di Malaysia.

Menerusi WUPF yang berlangsung selama 2 hari tersebut UTeM terus menterjemahkan inspirasi tinggi untuk melebarkan jaringan TVET aras tinggi nasional yang lebih meluas di China.

WUPF yang bertujuan untuk membina platform kerjasama dan pertukaran universiti global, menyerlahkan fungsian universiti merentas peredaran zaman ini telah disertai lebih daripada 50 buah universiti terkemuka dari seluruh dunia.