Skip to main content
15 August 2023

152 warga kerja UTeM terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 165 Terima Anugerah Jasa Bakti

MELAKA: Seramai 152 warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diangugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan seramai 165 telah menerima Anugerah Jasa Bakti baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin menyampaikan APC berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Ketika berucap pada majlis itu, Massila berkata, majlis seperti ini amat bermakna buat kakitangan awam khususnya warga UTeM sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada staf yang telah menghasilkan kualiti perkhidmatan yang cemerlang dan memenuhi kehendak pemegang taruh serta kumpulan sasar.

Ujarnya, diharapkan dengan pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini turut membakar semangat warga UTeM dalam memacu Universiti ke arah yang lebih berdaya saing dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Massila berkata, saban tahun usaha bersama kita untuk melonjakkan lagi visibitili UTeM menerusi penarafan antarabangsa ataupun world rankings telah berjaya direalisasikan.

“Tahun demi tahun juga prestasi UTeM dalam sistem penarafan ini menunjukkan kemajuan yang amat positif menerusi peningkatan kedudukan pada aras yang lebih membanggakan.

“Alhamdulillah berkat daripada ketekunan dan usaha yang tidak berbelah bagi daripada semua warga UTeM, akhirnya UTeM telah disenaraikan di dalam QS World Ranking.

“Ini membuktikan bahawa UTeM mempunyai tenaga kerja yang sangat berkualiti dan mampu untuk bersaing di persada dunia dan segenap pencapaian ini tidak akan dapat dicapai tanpa usaha daripada warga UTeM semua,” ucapnya di hadapan warga kerja UTeM.

AJB merupakan anugerah yang diperkenalkan UTeM dan dijayakan bagi mengiktiraf dan menghargai staf yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan melebihi 20 tahun.

Majlis pada hari ini turut menganugerahkan Calon Penerima Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang kepada 4 orang kakitangan UTeM yang mencapai kecemerlangan luar biasa cemerlang dan berdedikasi tinggi.

Pada hujung majlis yang sama UTeM turut melancarkan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan tahun 2023 peringkat UTeM bersama lebih 1,800 kakitangan UTeM yang hadir.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 adalah Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar, TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat.